Polis tahan empat lelaki, rampas heroin dalam dua serbuan

MELAKA - Polis menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin pada 28 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dijalankan antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan dibantu pasukan khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) Melaka Tengah.
"Dalam serbuan pertama, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 31 tahun ditahan di kawasan Tanjung Minyak dan pemeriksaan lanjut di sebuah rumah di Taman Bertam Setia menemukan 21 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 28.68 gram.
"… manakala dalam serbuan kedua yang dijalankan pada hari sama, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di kawasan ladang kelapa sawit di Krubong, selain polis turut menemukan 50 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat kira-kira 137.82 gram,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Christopher berkata, polis turut menyita harta milik suspek, iaitu tiga motosikal bernilai RM11,500, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah dianggarkan RM17,000.
Beliau berkata, hasil risikan awal mendapati kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan aktif sejak sebulan lepas.
"Ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek didapati positif dadah selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 4 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di Melaka Tengah kerana terlibat dalam pengedaran dadah heroin
- Dua lelaki ditangkap di Tanjung Minyak dan Krubong dengan penemuan heroin dalam paket plastik
- Serbuan ini dibantu pasukan khas BPJKKD dan dilakukan pada 28 Januari dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang
- Harta milik suspek termasuk tiga motosikal bernilai RM11,500 disita, dengan nilai gesamt rampasan RM17,000
- Kesemua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau, direman untuk membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
