Kren runtuh: Bomba siasat punca kebakaran pacuan empat roda

PONTIAN - Pihak bomba kini menyiasat punca kebakaran yang melibatkan sebuah pacuan empat roda di lokasi runtuhan kren di loji janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata, laporan berhubung insiden kebakaran itu sedang giat disiapkan.
"Siasatan bomba lebih menjurus kepada kebakaran yang melibatkan sebuah pacuan empat roda di lokasi ketika insiden runtuhan kren mengangkat arang batu di loji janakuasa berkenaan.
"Operasi yang memakan masa lebih empat jam membabitkan 15 pegawai dan anggota bomba bermula jam 1 tengah hari pada Sabtu, lebih tertumpu kepada mencari dan menyelamat mangsa serta pemadaman kebakaran," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain memaklumkan, pihaknya masih menunggu hasil siasatan lengkap daripada JBPM, selain laporan penuh daripada pihak pengurusan Malakoff Tanjung Bin.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan unit forensik Hospital Pontian apabila lebih 50 ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan menunggu proses bedah siasat selesai.

Dua jenazah pekerja subkontraktor yang terkorban dalam insiden di loji janakuasa Malakoff, Tanjung Bin dituntut oleh ahli keluarga masing-masing selepas proses bedah siasat selesai di unit forensik Hospital Pontian.
Jenazah Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dituntut oleh ahli keluarga kira-kira jam 1 petang sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Tanah Merah, kelantan.
Manakala jenazah Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, dituntut oleh ahli keluarga pada jam 1.45 petang dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah untuk dikebumikan.
Ringkasan AI
- Pihak bomba menyiasat kebakaran pacuan empat roda di lokasi runtuhan kren di loji janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup
- Operasi penyelamat dan pemadaman kebakaran melibatkan 15 pegawai bomba berlangsung lebih empat jam
- Ketua Polis Daerah Pontian menunggu hasil siasatan dari JBPM dan laporan dari pengurusan Malakoff
- Lebih 50 ahli keluarga berkumpul di unit forensik Hospital Pontian menanti proses bedah siasat
- Dua jenazah pekerja subkontraktor di loji janakuasa dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masin-masing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

