Dua pekerja maut, kren arang batu runtuh sebelum terbakar

Dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Jalan Tanjung Bin, Kukup tengah hari Sabtu. Mangsa maut, Muhammad Amaluddin (kiri) dan Muhammad Alfarid (kanan) - Foto JBPM
Dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Jalan Tanjung Bin, Kukup tengah hari Sabtu. Mangsa maut, Muhammad Amaluddin (kiri) dan Muhammad Alfarid (kanan) - Foto JBPM
A
A
A

PONTIAN – [DIKEMAS KINI] Dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, di sini tengah hari Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, sebuah kren dipercayai runtuh ketika operasi mengangkat arang batu sebelum menghempap tiga lelaki dewasa warga tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Alfarid Ahmad berusia 19 tahun beralamat di Tanah Merah, Kelantan manakala seorang lagi Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22 tahun beralamat di Gelang Patah Johor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 tengah hari.

Menurutnya, seramai 15 anggota dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Pontian Baru serta BBP Pekan Nenas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 1.32 tengah hari dan mendapati berlaku runtuhan kren yang turut menyebabkan kebakaran kecil di kawasan loji janakuasa itu.

“Seorang mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dengan kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS BBP Pontian Baru,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Nazri berkata, seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa ketiga berjaya dikeluarkan kira-kira jam 3 petang dan turut disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dua pekerja maut dan seorang cedera dalam runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Kukup
  • Kren runtuh ketika operasi mengangkat arang batu, menghempap tiga lelaki dewasa warga tempatan
  • Panggilan kecemasan diterima jam 1.01 tengah hari, BBP Pontian Baru hantar 15 anggota dan dua jentera FRT serta sebuah EMRS
  • Jentera bomba tiba pukul 1.32 tengah hari, runtuhan kren menyebabkan kebakaran kecil
  • Seorang mangsa dikeluarkan dalam keadaan sedar, dua lainnya meninggal dunia di lokasi kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!