Ibu Zayn Rayyan dapat tangguh hukuman penjara atau tidak, diketahui 23 Disember

SHAH ALAM - Keputusan sama ada ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin boleh menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabai kanak-kanak autisme itu akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Disember.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu dan pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sebagai responden.
Semasa prosiding, Raja Zaizul Faridah menghujahkan, tiada keadaan istimewa ditunjukkan oleh pihak pembelaan bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Menurutnya, pihak pembelaan tidak menunjukkan bahawa hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terkhilaf ketika menolak permohonan perayu untuk menangguhkan hukuman.
Selain itu katanya, alasan perayu bahawa dia mempunyai anak yang masih kecil malah menghidap autisme juga tidak termasuk dalam keadaan khas yang boleh dipertimbangkan mahkamah.
Menurutnya, tiada afidavit sokongan diikrarkan oleh pakar psikologi bahawa anak tersebut akan berada dalam keadaan tidak stabil sekiranya tidak dijaga oleh ibu sendiri.
Apatah lagi katanya, hak jagaan anak kedua perayu itu telah diberi kepada suami dan bukannya pemohon sendiri.
“Ismanira juga menggunakan alasan bahawa dia telah memberi kerjasama dengan hadir dalam setiap prosiding di mahkamah walhal ia merupakan tanggungjawab perayu untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan mahkamah.
“Alasan perayu bahawa tempoh pemenjaraan selama lima tahun akan tamat sebelum rayuan selesai juga tidak wajar dipertimbangkan kerana pengurusan kes bagi rayuan tersebut telah ditetapkan pada minggu depan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Haresh Mahadevan mewakili Ismanira berkata, adik kepada Zayn Rayyan yang kini berusia enam tahun memerlukan perhatian serta sokongan emosi berterusan daripada seorang ibu.
Katanya, berdasarkan laporan pakar kanak-kanak memberitahu, anak bongsu itu mengalami tekanan emosi yang ketara akibat berpisah dengan ibu lebih setahun.
Justeru itu beliau berkata, suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari terpaksa membawa anak mereka ke Penjara Kajang sekali setiap dua bulan untuk melepaskan rindu.
“Keadaan kanak-kanak ini mungkin akan lebih teruk jika dia melihat ibu sendiri bergari ketika dibawa ke mahkamah,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pada 31 Oktober, Hakim, Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.
Ringkasan AI
- Keputusan sama ada ibu Allahyarham Zayn Rayyan boleh menangguhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam akan diputuskan pada 23 Disember
- Pendakwaan berpendapat tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan hukuman tersebut
- Peguam pembelaan menyatakan anak bongsu perlu perhatian dari ibu kerana mengalami tekanan emosi akibat berpisah lebih setahun
- Ismanira didakwa mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang membawa kepada kematian anaknya, Zayn Rayyan
- Pada 31 Oktober, Ismanira dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

