Bapa Zayn Rayyan rayu mohon batal 14 syarat JKM, bon

Zaim Ikhwan mendukung anak keduanya selepas prosiding permohonan hak penjagaan kekal dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pada 21 November lalu.
Zaim Ikhwan mendukung anak keduanya selepas prosiding permohonan hak penjagaan kekal dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pada 21 November lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan sebahagian keputusan Mahkamah Majistret yang memerintahkannya memenuhi 14 syarat beserta bon, bagi membolehkan anak kedua, dikembalikan ke pangkuan keluarga.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, membuat permohonan berkenaan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co, pada 26 November lalu.

Pada 21 November lalu, Sinar Harian melaporkan, selepas 18 bulan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret di sini membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu dipulangkan ke pangkuan bapanya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu, memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM antaranya memastikan kanak-kanak yang juga menghidap autisme itu tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau berlaku pengabaian.

Bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya.

Mereka juga dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM

Sementara itu, peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan berkata, selain 14 syarat tersebut, Majistret, Ameera Mastura Khamis juga mengenakan perintah bon kepada Zaim Ikhwan mengikut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.

Susulan itu beliau yang mengendalikan kes pengabaian membabitkan isteri Zaim Ikhwan iaitu Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata, mahkamah telah tersilap menggunakan bidang kuasa di bawah seksyen itu kerana melibatkan dua isu iaitu perlindungan dan pemeliharaan, yang mana ia tidak lagi wujud dalam kes berkenaan.

Sedangkan beliau berkata, dalam kes ini kedua-dua isu berkenaan tidak lagi wujud selepas Zaim Ikhwan dilepaskan tanpa perlu membela diri terhadap kes pengabaian Zayn Rayyan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JKM juga menyatakan Zaim Ikhwan merupakan bapa yang layak, stabil dari segi mental dan kewangan malah memberi pengaruh yang baik kepada kanak-kanak yang kini berusia enam tahun tersebut.

“Susulan itu, mahkamah tiada hak untuk menetapkan sebarang syarat terhadap bapa dan anak ini.

“Mahkamah juga tidak boleh lagi menggunakan Seksyen 30(8) itu untuk mengenakan syarat atau bon kerana perlindungan dan pemeliharaan bukan lagi isu yang sah di sisi undang-undang dalam konteksnya,” katanya.

Beliau berkata, anak bongsu itu pada awalnya diambil oleh JKM selepas pasangan suami isteri itu didakwa mengabai Zayn Rayyan.

Selepas mahkamah membebaskan Zaim Ikhwan daripada tuduhan mahkamah itu, beliau berkata, anak guam tidak lagi berada dalam kategori orang yang perlu diawasi.

Katanya, hubungan bapa dan anak itu sepatutnya dipulihkan tanpa campur tangan atau pengawasan JKM.

“Berdasarkan kedudukan undang-undang yang jelas ini, kami memfailkan rayuan hanya terhadap syarat dan bon yang dikenakan oleh mahkamah.

“Kami tidak mencabar perintah pemulangan kanak-kanak itu, tetapi hanya bahagian syarat dan bon yang akan dirayu kerana ia tidak lagi wajar dalam keadaan Zaim Ikhwan telah dibebaskan daripada pertuduhan kes.

“Ditambah lagi dengan laporan JKM, menyatakan beliau tidak berisiko, selaras dengan pembebasan beliau pada lima bulan lalu,” katanya.

Pada 22 November lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak terus menjadi keutamaan, membabitkan kanak-kanak tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemantauan berjadual oleh JKM akan diteruskan, bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu sentiasa terjamin.

 

Ringkasan AI

  • Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan untuk membatalkan sebahagian keputusan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret
  • Mahkamah memerintahkan bapa memenuhi 14 syarat dikemukakan oleh JKM untuk membolehkan anak kedua dikembalikan ke pangkuan keluarga
  • Kanak-kanak berusia enam tahun itu mesti mendapat pendidikan dan terapi sesuai, dan keluarga perlu tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah
  • Peguam menyatakan mahkamah tersilap menggunakan kuasa memandangkan Zaim Ikhwan telah dilepaskan daripada tuduhan pengabaian dan JKM menyatakan beliau merupakan bapa yang layak
  • Rayuan difailkan terhadap syarat dan bon yang dikenakan oleh mahkamah, bukan tentang perintah pemulangan anak itu ke keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!