Bekas Ketua Pengarah Perisikan nafi terima AS$20,000, tiket penerbangan untuk isteri

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tiga pertuduhan menerima suapan AS$20,000 dan dua tiket penerbangan luar negara pada 2024 dan tahun lalu.
Mohd Razali Alias, 60, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang memakai kot berwarna coklat gelap itu didakwa menerima suapan wang berjumlah AS$20,000 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun.
Ia sebagai dorongan bagi meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Kesalahan didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, di sini antara Ogos dan November 2024.
Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa ketika menjawat jawatan berkenaan, telah menerima untuk isterinya, Azarina Bakia pembayaran masing-masing RM26,800 dan RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta Estonia dengan tanpa balasan.
Wang berkenaan daripada individu sama yang merupakan seorang pengarah syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugasnya, di lokasi sama pada 15 November 2024 dan 28 April 2025.
Dua kes itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
AKAN MENYUSUL
Ringkasan AI
- Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias dari ATM mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan suapan
- Mohd Razali didakwa menerima AS$20,000 dan dua tiket penerbangan luar negara
- Pertuduhan melibatkan kelulusan sijil pengesahan untuk Perkhidmatan Senggaraan dan Sokongan Sistem Operasi Pertahanan Siber
- Dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan
- Dua pertuduhan lain melibatkan pembelian tiket penerbangan untuk isterinya dengan wang suapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

