Musim tengkujuh: Pendapatan nelayan terjejas, LKIM tampil hulur bantuan

Mohamad Khairul (dua dari kiri) bersama anaknya menerima sumbangan beg sekolah disampaikan oleh Muhammad Faiz (dua dari kiri). - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad Khairul (dua dari kiri) bersama anaknya menerima sumbangan beg sekolah disampaikan oleh Muhammad Faiz (dua dari kiri). - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK — Musim tengkujuh yang berlarutan sejak sebulan lalu menyebabkan ramai nelayan tidak dapat turun ke laut, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Bapa kepada tiga anak, Mohamad Khairul Ridhwan Hassan, 32, berkata beliau sendiri tidak sanggup menanggung risiko turun ke laut memandangkan keadaan laut yang bergelora, menyebabkan beliau tidak dapat menangkap udang serta ikan seperti kebiasaannya.

“Air pasang malam tadi pun cukup kuat, memang tak berani turun.

“Kalau ada yang turun, mereka tanggung risiko sendiri, ibarat nyawa di hujung tanduk kerana ombak memang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan dalam Program Anak Nelayan Kembali ke Sekolah anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sebuah chalet di sini, pada Ahad.

Mohamad Khairul yang telah menjadi nelayan sejak empat tahun lalu berkata, ketiadaan pendapatan pada musim tengkujuh memberi kesan besar kepada keluarganya kerana beliau perlu menampung tiga anak yang masing-masing berusia 11, lapan dan tiga tahun, terutama dalam membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.

“Musim ini, saya hanya bergantung kepada elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan.

“Selain itu, isteri saya membantu mengambil upah mengutip kangkung sekitar RM10 sehari atau membuat inti karipap dengan bayaran antara RM15 hingga RM20 bagi membantu menampung perbelanjaan harian,” ujarnya.

Beliau menjangkakan hanya akan dapat turun semula ke laut selepas berakhirnya musim tengkujuh yang dijangka pada bulan Mac tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Program Anak Nelayan Kembali ke Sekolah anjuran LKIM melibatkan 500 anak nelayan terpilih yang menerima sumbangan peralatan persekolahan hasil peruntukan kira-kira RM80,000 dengan kerjasama Petronas serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, seramai 500 anak nelayan dipilih sebagai penerima bantuan peralatan sekolah di lima negeri iaitu Sarawak, Melaka, Kelantan, Kedah dan Sabah.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam kalangan nelayan yang terjejas pendapatan, khususnya pada musim tengkujuh,” katanya.

Ringkasan AI

  • Musim tengkujuh menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut, menjejaskan pendapatan mereka
  • Mohamad Khairul Ridhwan Hassan, seorang bapa kepada tiga anak, tidak mampu menangkap udang serta ikan akibat keadaan laut yang bergelora
  • Pendapatan Mohamad Khairul pada musim tengkujuh bergantung kepada elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan
  • Mohamad Khairul menjangkakan dapat turun ke laut selepas musim tengkujuh berakhir pada bulan Mac tahun depan
  • Program Anak Nelayan Kembali ke Sekolah anjuran LKIM bertujuan meringankan beban ibu bapa nelayan dengan menyediakan sumbangan peralatan persekolahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!