'Musim tengkujuh, makan ikan selayang' - LKIM

Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyampaikan replika bantuan banjir kepada PNK Bachok. - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyampaikan replika bantuan banjir kepada PNK Bachok. - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggalakkan pengguna memilih spesies ikan mengikut musim bagi mengelakkan manipulasi harga oleh peniaga, khususnya ketika musim tengkujuh.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting memandangkan beberapa spesies ikan mengalami penyusutan atau terjejas apabila laut bergelora, termasuk ikan tongkol yang lazimnya berkurangan pada hujung tahun.

“Sebab ikan tongkol tiada ketika musim tengkujuh, jadi pilihlah ikan selayang kerana ikan selayang sentiasa ada.

“Kami tidak memaksa orang menukar selera, cuma minta ikut kitaran semula jadi. Apabila tongkol kurang dan selayang banyak, makanlah selayang. Apabila tiba musim lain dan tongkol kembali murah, bolehlah makan tongkol. Dengan cara ini, harga ikan dapat dikekalkan pada tahap stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM dan Petronas di sebuah chalet di sini pada Ahad.

Anak nelayan yang menerima sumbangan persekolahan LKIM dan Petronas. - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
Anak nelayan yang menerima sumbangan persekolahan LKIM dan Petronas. - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

Tambahnya, persepsi bahawa bekalan ikan tiada ketika musim tengkujuh sebenarnya lebih kepada sentimen pasaran, sedangkan stok simpanan yang diuruskan LKIM, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan pemain industri adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Menurutnya, terdapat peniaga yang mengambil peluang memainkan naratif kekurangan bekalan untuk melonjakkan harga, walhal stok sejuk beku di bawah kendalian LKIM serta lima syarikat swasta yang bekerjasama masih mampu menstabilkan pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Bekalan kita mencukupi. Jika pengguna mendisiplinkan diri dengan memilih ikan mengikut musim, harga akan lebih terkawal.

“Masalah timbul apabila semua orang tetap mahukan tongkol walaupun bukan musimnya. Inilah yang membuka ruang kepada manipulasi harga,” ujarnya.

Muhammad Faiz berkata, kempen ‘Makan Ikan Ikut Musim Spesies’ sedang digerakkan bagi mendidik orang ramai menghargai variasi ikan tempatan dan mengurangkan tekanan terhadap satu-satu spesies sahaja.

Menurutnya, stok simpanan semasa di bilik sejuk LKIM dan PNK adalah antara 200 hingga 300 tan metrik.

“Bekalan ini ditambah dengan simpanan syarikat swasta sehingga 1,600 tan metrik dan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, LKIM turut memaklumkan bahawa agihan bantuan bencana berjumlah RM1.8 juta telah disalurkan sejak Januari lalu sehingga kini bagi membantu nelayan yang terjejas akibat kerosakan aset, kehilangan hasil dan kesukaran beroperasi termasuk akibat ribut, banjir dan kemalangan laut.

Dalam majlis sama, LKIM turut menyerahkan bantuan peralatan penangkapan ikan bernilai RM41,400 serta menyampaikan bakul makanan kepada tiga nelayan yang terkesan akibat banjir di kawasan Tawang.

“Setiap mereka turut menerima RM500 tunai, manakala dua PNK menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan iaitu PNK Bachok sebanyak RM12,800 serta PNK Semerak RM10,500 sebagai sokongan tambahan pascabanjir,” katanya.

Ringkasan AI

  • LKIM menggalakkan pengguna memilih ikan mengikut musim untuk mengelakkan manipulasi harga
  • Beberapa spesies ikan seperti tongkol berkurangan ketika musim tengkujuh jadi pengguna disarankan memilih ikan selayang
  • Penyimpanan stok simpanan dan beku oleh LKIM dan syarikat swasta cukup untuk memenuhi permintaan semasa musim tengkujuh
  • Kempen 'Makan Ikan Ikut Musim Spesies' dilancarkan untuk mendidik orang ramai menghargai variasi ikan tempatan
  • LKIM menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM1.8 juta dan bantuan peralatan serta tunai kepada nelayan yang terjejas akibat bencana

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!