Wanita gigih jual kuih demi sara lapan anak termasuk dua OKU
Menerima bantuan peralatan PERKESO–SSM untuk kembangkan perniagaan selepas lima tahun bergelut tanpa mesin

KOTA BHARU - Demi menyara lapan anak termasuk dua orang kurang upaya (OKU) pendengaran, seorang wanita dari Kampung Badang, Jalan PCB, di sini gigih menguli doh dengan tangan sendiri bagi menghasilkan kuih sejuk beku untuk dijual.
Roslina Mat Yusoff, 45, berkata, kehidupannya semakin mencabar selepas berpisah dengan suami tahun lalu, menyebabkan beliau terpaksa memikul tanggungjawab menguruskan keluarga yang turut mempunyai anak sekecil setahun setengah.
“Dah lima tahun saya berniaga kecil-kecilan dari rumah, buat kuih sardin gulung, karipap, donut untuk dijual ke kedai-kedai berdekatan, selain mengambil tempahan.
“Setiap hari saya uli dua kilogram tepung menggunakan tangan kerana tidak mampu membeli mesin,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Roslina sebelum itu menerima bantuan peralatan membuah kuih bernilai RM4,690 di bawah Program Cakna Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Turut hadir, Pengarah SSM Negeri Kelantan, Mohd Zawawi Ahmad.

Roslina mencarum RM13.10 sebulan di bawah Skim Lindung Kendiri PERKESO sejak Julai lalu sebagai langkah perlindungan jika berlaku kecemasan yang sekali gus melayakkannya menerima bantuan tersebut.
Dia kini tinggal menumpang di rumah ibu mentuanya dan perlu berpindah pada bila-bila masa, menjadikan kehidupannya tidak menentu terutama dengan anak-anak yang masih kecil serta memerlukan perhatian.
Daripada lapan anaknya, dua merupakan OKU pendengaran termasuk anak kedua, Nurin Alisya Safiah Mohd Hilmi, 20, yang membantu mengusahakan pembuatan kuih setiap hari dan seorang lagi, Nurin Aisyah, berusia 14 tahun.
“Saya pun sedang cari rumah nak pindah dan mulakan perniagaan lebih baik di hadapan rumah nanti.
“Mesin yang saya dapat ini, akan guna untuk buat kuih dan ambil tempahan lebih banyak,” katanya sambil menambah lima anak juga masih belajar termasuk anak sulung berusia 23 tahun sedang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, Roslina antara 20 usahawan mikro yang menerima bantuan peralatan seperti mesin pengadun, pengisar dan periuk elektrik.
Menurutnya, PERKESO menerima penyaluran wakalah zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM148,783.90 bagi seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, lebih RM51,000 disalurkan dalam bentuk barangan kelengkapan niaga kepada 20 penerima usahawan mikro Kelantan.
“Penerima juga mengikuti Latihan Asas Keusahawanan MYFutureJobs PERKESO bagi membina keyakinan dan kemahiran pengurusan perniagaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Wanita dari Kampung Badang, Kota Bharu, menguli doh dengan tangan sendiri untuk menyara lapan anak termasuk dua OKU pendengaran
- Mencarum RM13.10 sebulan di bawah Skim Lindung Kendiri PERKESO, melayakkannya menerima bantuan peralatan membuah kuih
- Roslina berpisah dengan suami dan hidup mencabar sambil mengurus keluarga
- Tinggal menumpang di rumah ibu mentuanya dan kehidupan yang tidak menentu
- Menerima bantuan mesin pengadun, pengisar dan periuk elektrik dari PERKESO untuk memperbanyak produksi kuih
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

