'Justice for Faris, Zara' bergema di Kota Bharu

Ruhani (kiri) dan Wan Abdul Rahman (kanan) yang bersama-sama dalam perhimpunan solidariti di Kota Bharu. Foto Sinar Harian - ADILA SHARINNI WAHID
Ruhani (kiri) dan Wan Abdul Rahman (kanan) yang bersama-sama dalam perhimpunan solidariti di Kota Bharu. Foto Sinar Harian - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Lebih 1,000 orang hadir melaungkan "Justice for Faris, Zara" bagi menyatakan solidariti menuntut pembelaan atas kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman dan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Perhimpunan aman yang bermula kira-kira jam 8.40 malam itu didahului dengan solat Isyak berjemaah diikuti solat hajat dan bacaan doa untuk kedua-dua Allahyarham.

Turut hadir, ibu bapa Wan Ahmad Faris iaitu Ruhani Hussin, 70, dan Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, yang kelihatan tenang sepanjang perhimpunan.

Ahli keluarga Allahyarham turut berpakaian putih sebagai lambang keadilan dan keamanan sambil membawa sepanduk bertulis 'Justice For Faris, Zara' serta mengenakan lilitan putih pada kepala sebagai tanda solidariti.

Wan Abdul Rahman
Wan Abdul Rahman

Wan Abdul Rahman berkata, himpunan itu dianjurkan untuk menuntut keadilan selain memastikan siasatan dijalankan secara telus oleh pihak berkuasa.

“Kami sekeluarga amat terharu dengan kehadiran ribuan rakyat malam ini.

“Ia bukti perjuangan menuntut keadilan untuk Wan Ahmad Faris, bukan perjuangan keluarga semata-mata, tetapi juga suara masyarakat,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, himpunan itu bukan bertujuan politik dan bukan untuk menjatuhkan atau menghina mana-mana pihak.

“Fokus kami hanyalah keadilan untuk arwah dan semua pihak lain yang menuntut hak,” katanya.

Peserta perhimpunan yang hadir melaungkan keadilan buat Wan Ahmad Faris dan Zara Qairina. Foto Sinar Harian - ADILA SHARINNI WAHID
Peserta perhimpunan yang hadir melaungkan keadilan buat Wan Ahmad Faris dan Zara Qairina. Foto Sinar Harian - ADILA SHARINNI WAHID

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.

Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar tahfiz sebuah sekolah agama di Kok Lanas, ditemui mati tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.

Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian itu berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali, sekali gus menolak kemungkinan bunuh diri.

Susulan itu, keluarga Allahyarham memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi umum, khas dan lain-lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!