Lima lelaki aktif curi motosikal di Kota Bharu diberkas

Dua daripada lima lelaki yang ditahan selepas polis melancarkan operasi khas Op Lejang pada Jumaat. Foto PDRM
Dua daripada lima lelaki yang ditahan selepas polis melancarkan operasi khas Op Lejang pada Jumaat. Foto PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Lima lelaki yang dipercayai aktif mencuri motosikal di sekitar daerah ini ditahan selepas polis melancarkan operasi khas Op Lejang hasil risikan dengan kerjasama beberapa balai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan itu dilakukan susulan tiga laporan berasingan membabitkan kehilangan motosikal sejak Ogos hingga November lalu di Kampung Lubuk Pukul, Padang Kiat Sering dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini.

Menurut beliau, pada 6 Ogos lalu polis menerima laporan berkait kehilangan motosikal di hadapan rumahnya di Kampung Lubuk Pukul, Banggu melibatkan seorang lelaki berusia 50-an.

"Kes kedua pula diterima pada 5 September melibatkan mangsa berusia 20-an, manakala kejadian ketiga pada 23 November membabitkan seorang lelaki 40-an di kawasan parkir motosikal PPR Kota Bharu.

“Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Bertindak atas maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu bersama Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Binjai telah melaksanakan Op Lejang sehingga berjaya menahan lima suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau, tangkapan itu membawa kepada penyelesaian lima kes curi motosikal di sekitar Kota Bharu, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat rakan subahat atau kaitan dengan jenayah lain.

Ujarnya, siasatan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Mohd Rosdi memberitahu, kesemua mereka telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu dan kini direman untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menegaskan komitmen polis dalam membanteras kegiatan curi motosikal yang semakin menjadi-jadi dan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lima lelaki dipercayai mencuri motosikal di Kota Bharu ditahan dalam operasi khas Op Lejang
  • Tangkapan susulan tiga laporan kehilangan motosikal sejak Ogos hingga November di lokasi berbeza
  • Semua kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan
  • Penangkapan membantu penyelesaian lima kes curi motosikal
  • Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!