'Saya ambil dadah seminggu sekali, warga asing datang jual'

SELAYANG - Tiga beradik yang leka lepak dan mengakses internet di sebuah pusat snuker di Selayang Baru di sini terkedu selepas diarah untuk membuat ujian air kencing sebelum disahkan positif dadah pada Sabtu.
Perkara itu dikesan menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pihak berkuasa tempatan.
Sinar Harian difahamkan dua daripada mereka positif dadah jenis syabu, manakala seorang lagi positif syabu dan ganja.
Abang sulung tiga beradik berusia 43 tahun itu mendakwa dia pernah berhenti daripada mengambil barang terlarang itu namun terjebak semula akibat pengaruh rakan.
"Saya ikut kawan dan ambil (dadah) seminggu sekali.
"Ada warga asing yang datang jual. Dia datang 'offer', kata ini baik punya. Harga RM30 untuk satu tiub," dakwanya ketika ditemui pemberita selepas ditahan di sini.
Tambah pekerja kedai makan itu, dia juga hanya mengetahui dua adik lelakinya berusia 42 dan 36 tahun itu terlibat dengan dadah beberapa tahun lalu selepas mereka pernah ditahan penguat kuasa.
"Adik perempuan saya juga pernah beritahu perkara ini. Saya ambil tanggungjawab ini," katanya.
Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, turut mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun warga Myanmar yang dipercayai memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV milik majikannya dari Cheras, Kuala Lumpur tanpa sebarang dokumen sah.
Selain itu, terdapat juga beberapa cubaan warga asing yang menyorok di dalam premis kedai dan kediaman semasa pemeriksaan dijalankan anggota operasi.
Malah, terdapat juga beberapa premis di tingkat atas deretan bangunan disyaki asrama pekerja asing dengan keadaan kotor diserbu.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 843 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, India, Myanmar dan Nepal ditahan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tidak diiktiraf.
"Operasi bersepadu ini akan diteruskan secara kesinambungan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara," ujarnya.
Tegasnya, kerajaan Selangor juga mengingatkan orang ramai dan para majikan agar tidak melindungi PATI kerana tindakan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ringkasan AI
- Tiga beradik positif dadah selepas diarah buat ujian air kencing di pusat snuker Selayang Baru
- Operasi bersepadu dilakukan oleh pelbagai agensi termasuk JIM, AADK, PDRM, JPN, JTK
- Dua daripada mereka positif syabu manakala seorang lagi positif syabu dan ganja
- Abang sulung mengakui kembali terjebak dadah akibat pengaruh rakan dan pembelian daripada warga asing
- Seramai 843 individu disyaki PATI ditahan dalam operasi yang sama, melibatkan pelbagai warga asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
