21 warga asing dari lima negara diarah berpatah balik

Mohd Nasaruddin (duduk tengah) pada sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
Mohd Nasaruddin (duduk tengah) pada sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Seramai 21 warga asing dari lima negara diarah berpatah balik selepas cubaan mereka untuk memasuki negara ini dikesan mencurigakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada pagi Selasa.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semua dikenakan Notis Penolakan Masuk selepas pemeriksaan teliti mendapati mereka gagal memenuhi syarat kemasukan yang sah.

“Mereka terdiri daripada empat lelaki warga China, dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan dan 13 wanita warga Thailand.

"Pada Isnin seramai tujuh orang warga asing telah diarah berpatah balik dan pada Selasa pula seramai 21 orang juga telah diarah berpatah balik kerana gagal penuhi syarat," katanya pada sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

Kesemua mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.

Menurut beliau, antara sebab penolakan termasuk dokumen perjalanan rosak, kekerapan keluar masuk tanpa alasan munasabah, jawapan ragu ketika soal siasat serta membawa wang tunai dalam jumlah kecil yang tidak selari dengan tujuan melancong.

“Ada juga yang menggunakan tiket penerbangan dan tempahan hotel tidak sah, malah ada yang dipercayai masuk untuk bekerja secara haram menggunakan pasport pelancong,” jelasnya.

Tambah beliau, warga Pakistan yang ditolak kemasukan sepatutnya memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) namun gagal berbuat demikian.

Katanya, mereka mencuba nasib masuk ke negara ini dengan menggunakan kenderaan awam seperti bas ekspres persiaran, kereta atau teksi awam.

Artikel Berkaitan:

Kesemua individu berusia antara 20-an hingga 40-an itu telah diarahkan berpatah balik serta-merta selepas pemeriksaan selesai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!