Menteri arah Prasarana tampil beri penjelasan

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad mengemukakan laporan dan penjelasan lengkap berhubung isu gangguan perkhidmatan rel di Lembah Klang yang hangat dipersoalkan susulan pendedahan Sinar Harian sebelum ini.
Beliau menegaskan, dakwaan bahawa keadaan perkhidmatan semakin teruk adalah tidak tepat dan perlu dijelaskan dengan data serta fakta semasa.
“Prasarana akan memberikan laporan lengkap kepada media kerana dari segi jumlah kerosakan dan gangguan, ia telah bertambah baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kita akui memang ada gangguan, tetapi untuk mengatakan keadaan kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini adalah tidak tepat berdasarkan angka dan fakta,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorentasikan Transit Seremban Sentral di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas laporan khas Sinar Harian mengenai keluhan pengguna LRT, MRT dan monorel di Lembah Klang yang kecewa apabila gangguan perkhidmatan tersebut yang didakwa kerap berulang.
Mengulas lanjut Anthony berkata, kerajaan melalui Prasarana telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk penyelenggaraan serta menambah tren baharu.
"Kita pun baru menempah beberapa set tren baharu bagi laluan Kelana Jaya sebagai sebahagian usaha peningkatan perkhidmatan.
“Saya berharap penambahbaikan ini dapat diteruskan. Namun ada faktor luar jangka yang perlu kita hadapi, terutamanya kerana trek kita terdedah kepada cuaca, hujan lebat boleh menyebabkan pokok tumbang atau dahan jatuh ke atas trek dan ini menjejaskan operasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui Prasarana perlu memperbaiki sistem komunikasi dengan pengguna terutama ketika berlakunya gangguan perkhidmatan.
“Saya faham pengguna tidak puas hati apabila berlaku gangguan. Salah satu kelemahan Prasarana ialah komunikasi yang kadangkala tidak sampai kepada orang ramai.
“Pengguna tidak tahu punca gangguan, berapa lama ia akan berlarutan dan bagaimana mereka boleh mendapatkan alternatif pengangkutan lain. Itu perlu diperbaiki,” jelasnya.
Anthony turut menafikan bahawa gangguan berpunca daripada usia tren yang dikatakan sudah terlalu lama.
“Ini bukan soal usia tren. Selagi ia diselenggara mengikut jadual, tren boleh beroperasi sehingga 30 tahun. Namun ada yang ditamatkan lebih awal berdasarkan analisis kos faedah.
"Jika penggantian lebih menguntungkan operasi, kita gantikan dengan tren baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak sesekali berkompromi mengenai aspek keselamatan pengguna dan isu tren lama tidak timbul kerana penyelenggaraan dilakukan secara berkala.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan menafikan perkhidmatan rel di Lembah Klang teruk disebabkan gangguan kerap
- Jumlah kerosakan dan gangguan telah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya
- Prasarana Malaysia Berhad akan mengemukakan laporan lengkap mengenai peningkatan perkhidmatan
- Kerajaan melalui Prasarana telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk penyelenggaraan dan menambah tren baharu
- Anthony Loke mengakui Prasarana perlu memperbaiki sistem komunikasi dengan pengguna sewaktu gangguan perkhidmatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

