Majoriti nilai mutu pengangkutan awam pada tahap sederhana

A
A
A

SHAH ALAM – Majoriti pengguna media sosial menilai mutu pengangkutan awam negara berada pada tahap sederhana susulan ketepatan masa dan keselesaan antara isu yang masih membelenggu pengguna ketika ini.

Hasil tinjauan undian dijalankan Sinar Harian di lima platform media sosial setakat jam 4.30 petang, Selasa menunjukkan majoriti responden menilai mutu pengangkutan awam sebagai sederhana.

Secara keseluruhan, daripada 743 undi diterima, sebanyak 29.6 peratus (220 undi) memilih baik, 20 peratus (149 undi) menilai buruk dan 51.1 peratus (380 undi) berpandangan mutu pengangkutan awam berada pada tahap sederhana.

Corak undian menunjukkan perbezaan jelas dalam penilaian pengguna mengikut platform.

YouTube sebagai platform dengan undi tertinggi memperlihatkan kecenderungan majoriti menilai mutu pengangkutan awam pada tahap sederhana dengan 53 peratus, manakala 31 peratus memilih baik dan 16 peratus buruk.

Melalui tinjauan undian di Facebook Sinar Harian, kira-kira 60 peratus pengguna memilih mutu perkhidmatan pada tahap buruk, manakala 20 peratus lagi masing-masing memilih mutu baik dan sederhana.

Bagi aplikasi X pula, undian merekodkan 10.7 peratus memilih baik, 57.1 peratus buruk dan 32.2 peratus berpendapat mutu pengangkutan awam sederhana.

Di Instagram, sebanyak 27 peratus memilih baik, 20 peratus buruk dan 53 peratus menyatakan tahap perkhidmatan sederhana.

Tinjauan di Threads pula merekodkan keputusan 0 peratus memilih baik, 33 peratus buruk dan 67 peratus menyatakan kategori sederhana sebagai penilaian mereka.

Artikel Berkaitan:

Hasil keseluruhan tinjauan ini menunjukkan persepsi umum pengguna bahawa pengangkutan awam negara berada pada tahap pertengahan, dengan aspek ketepatan masa dan keselesaan masih menjadi tumpuan yang perlu ditambah baik oleh pihak berkaitan.

Pada Isnin, menerusi Laporan Khas Suara Rakyat, Sinar Harian mendedahkan hampir sejuta pengguna LRT, MRT dan monorel di Lembah Klang semakin kecewa apabila kelewatan tren menjadi rutin harian yang menjejaskan jadual kerja dan pengajian, sekali gus memberi kesan rantaian kepada ekonomi bandar raya yang bergantung sepenuhnya pada nadi pengangkutan rel ini.

Tinjauan Sinar Harian selama lima hari berturut-turut juga mendapati kekerapan tidak menentu dan komunikasi lemah masih menghantui pengguna setiap hari.

Berbanding bandar raya seperti Singapura (9 laluan LRT), Hong Kong (10 laluan), Taipei (6) dan Tokyo (13) yang merekodkan ketepatan masa tren melebihi 99 peratus serta jarak berjuta kilometer sebelum gangguan, sistem rel Lembah Klang dengan hanya lima laluan utama bukan sahaja mempunyai jaringan lebih kecil tetapi masih bergelut menstabilkan frekuensi tren dan meningkatkan tahap kepuasan pengguna.

Ringkasan AI

  • Majoriti pengguna media sosial menilai mutu pengangkutan awam negara berada pada tahap sederhana secara keseluruhan, 51.1 peratus berpandangan mutu pengangkutan awam berada pada tahap sederhana YouTube memperlihatkan kecenderungan majoriti menilai pada tahap sederhana manakala Facebook menunjukkan 60 peratus memilih mutu perkhidmatan buruk Ketepatan masa dan keselesaan adalah antara isu utama yang membelenggu pengguna Laporan Khas Suara Rakyat mendedahkan kekecewaan pengguna LRT, MRT dan monorel di Lembah Klang akibat kelewatan tren harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!