Pulihkan semula kepercayaan penumpang

ISU gangguan tren di Lembah Klang yang berulang kali berlaku menunjukkan terdapat keperluan mendesak kerajaan untuk memperbaiki dasar pengangkutan awam bandar.
Perkhidmatan LRT, MRT dan monorel yang merupakan 'nadi' pengangkutan awam penduduk Lembah Klang masih jauh ketinggalan berbanding beberapa negara lain, termasuk negara jiran, Singapura.
Sistem yang sudah berusia lebih dua dekad kini menanggung kapasiti tepu, aset uzur dan penyelenggaraan yang tidak lagi setara dengan keperluan populasi bandar yang pesat.
Justeru, beberapa langkah strategik perlu dipertimbangkan segera kerajaan. Antaranya, kerajaan perlu mempercepatkan program pembaharuan aset.
Banyak komponen penting seperti sistem brek, kawalan automatik dan rangkaian kabel perlu diganti secara menyeluruh, bukan secara tampalan.
Selain itu, Malaysia memerlukan satu pelan induk kekerapan tren yang mewajibkan standard minimum masa menunggu. Contohnya, perlu tetapkan dua hingga tiga minit pada waktu puncak di bandar maju seperti di Tokyo dan Seoul.
Untuk mencapai tahap ini, penambahan gerabak baharu perlu dibuat serta sistem isyarat perlu dimodenkan agar tren boleh beroperasi lebih rapat antara satu sama lain tanpa menjejaskan keselamatan.
Turut perlu diberi perhatian ialah menaik taraf sistem komunikasi ketika gangguan. Pengumuman masa sebenar, notifikasi automatik melalui aplikasi dan papan maklumat digital harus dipertingkatkan.
Keselamatan trek juga mesti diperkukuhkan melalui pemasangan sensor keselamatan, sistem kamera dan rondaan automatik bagi mengurangkan risiko pencerobohan dan kecurian kabel. Dua faktor ini semakin kerap menjadi punca gangguan.
Sudah semestinya paling perlu difikirkan ialah mempercepatkan pembinaan rangkaian rel baharu, termasuk laluan metro bandar sebenar agar beban tidak terus tertumpu pada laluan sedia ada yang kini menghampiri kapasiti maksima.
Dengan cadangan langkah menyeluruh ini, kerajaan bukan sahaja dapat meningkatkan kepuasan pengguna, tetapi juga memulihkan keyakinan terhadap pengangkutan awam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
