Isu gangguan tren cabaran bina bandar produktif

Selain kehilangan masa akibat gangguan dan kelewatan perkhidmatan, pengguna tren turut berdepan tekanan emosi apabila rutin harian terganggu.
Selain kehilangan masa akibat gangguan dan kelewatan perkhidmatan, pengguna tren turut berdepan tekanan emosi apabila rutin harian terganggu.
A
A
A

GANGGUAN dan kelewatan perkhidmatan tren di Lembah Klang bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah menjejaskan tahap produktiviti negara secara berterusan.

Data anggaran oleh pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai mendedahkan bahawa Malaysia kehilangan lebih RM540 juta pada tahun lalu akibat kelewatan kecil dan sederhana, melibatkan purata 72 jam masa hilang setahun dalam kalangan 300,000 pengguna tegar perkhidmatan tren di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Kerosakan, penutupan landasan, gangguan teknikal dan kecurian kabel seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) semakin mencerminkan ketidaktentuan sistem rel negara.

Situasi ini mengundang keresahan dalam kalangan pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada tren untuk ke tempat kerja setiap hari.

Pendedahan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan 1,300 jam kelewatan pada 2025 sahaja menunjukkan kelemahan struktur pengangkutan awam yang masih belum diselesaikan.

Lebih membimbangkan, tiada perincian khusus mengenai data gangguan bagi LRT, MRT dan Monorel, walaupun rangkaian ini membawa jumlah penumpang harian tertinggi di Lembah Klang.

Selain kehilangan masa, pengguna tren turut berdepan tekanan emosi apabila rutin harian terganggu. Kelewatan berulang menyukarkan mereka menepati waktu bekerja, mesyuarat penting dan komitmen keluarga.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh membawa kepada keletihan mental, kehilangan motivasi bekerja dan ketegangan dalam kehidupan seharian.

Malaysia kini sedang menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi, namun ketergantungan kepada kenderaan persendirian masih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sebarang kelemahan serius pada sistem tren akan menghalang usaha kerajaan mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran dan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Kerajaan perlu menyedari bahawa isu kelewatan tren bukan sahaja isu pengangkutan, tetapi turut melibatkan kesan sosial, ekonomi dan psikologi yang memberi impak langsung kepada produktiviti negara.

Anggaran kerugian RM540 juta hanyalah cerminan kepada masalah yang lebih mendalam iaitu kegagalan sistemik dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang stabil dan boleh dipercayai untuk ratusan ribu rakyat.

Kerajaan perlu memberikan tumpuan segera terhadap aspek penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur, keselamatan serta ketelusan dalam laporan gangguan perkhidmatan.

Jika tidak ditangani segera, Malaysia berisiko gagal membina bandar yang produktif, moden dan mampan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!