World #QuranConvention 2025 platform satukan masyarakat

SHAH ALAM - Penganjuran World #QuranConvention (WQC) 2025 merupakan platform ilmu yang boleh menyatukan masyarakat melalui solusi berpaksikan al-Quran.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM), Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, ia seiring dengan komitmen syarikat untuk memupuk nilai integriti dalam perkhidmatan awam.
Menurutnya, oleh sebab itu KDEBWM memberi sokongan penuh kepada penganjuran WQC 2025.
“KDEBWM menyokong penganjuran dari aspek kolaborasi dan logistik tertentu dan turut terlibat secara langsung mempromosikan program kepada masyarakat Selangor.
“Sokongan ini mencerminkan peranan kami sebagai rakan strategik inisiatif kemasyarakatan selain sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sosial di Selangor.
“WQC membuka ruang masyarakat untuk memahami panduan al-Quran lebih relevan, tadabbur dan praktikal,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, usaha tersebut dapat membentuk cara fikir yang lebih bertanggungjawab dalam urusan harian dan membantu melahirkan komuniti jujur, berdisiplin serta berintegriti.
“Prinsip amanah, kebersihan dan ihsan diterapkan dalam operasi harian kami serta hubungan dengan komuniti.
“Tadbir urus beretika menjadi asas keputusan korporat dan pengurusan pekerja. Setiap inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami menekankan keseimbangan sosial, alam sekitar dan nilai moral,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tema WQC 2025 iaitu menekankan keadilan, amanah dan pengurusan beretika merupakan nilai asas dalam operasi KDEBWM.
“Kami percaya ekonomi mampan lahir daripada asas moral yang kukuh. Pendekatan ini selaras dengan tanggungjawab kami sebagai syarikat milik negeri Selangor,” ulasnya.
Mahfuzah turut berharap agar WQC dapat mengangkat kefahaman bahawa al-Quran menawarkan panduan praktikal dalam dunia moden.
Jelas beliau, sektor korporat boleh mengukuhkan budaya kerja yang beretika dan bertanggungjawab, manakala masyarakat lebih memahami pentingnya integriti untuk pembangunan.
“Kami sentiasa memastikan perkhidmatan kutipan sisa dan pembersihan awam berjalan cekap demi persekitaran yang sihat.
“Program kemasyarakatan, penglibatan komuniti dan CSR berfokus terus diperluaskan. Matlamatnya meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Ringkasan AI
- World #QuranConvention (WQC) 2025 disokong oleh KDEB Waste Management untuk menyatukan masyarakat melalui al-Quran
- KDEBWM memberi sokongan dalam aspek kolaborasi dan logistik serta promosi di Selangor
- WQC bertujuan untuk memperdalam pemahaman masyarakat tentang al-Quran sebagai panduan hidup
- Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk komuniti yang jujur, berdisiplin, dan berintegriti
- Tema WQC 2025 menekankan keadilan, amanah, dan pengurusan beretika, sejajar dengan nilai korporat KDEBWM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

