WQC 2025 platform perkasa kesedaran al-Quran dan zakat

SHAH ALAM – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melihat World #QuranConvention (WQC) 2025 sebagai platform berkesan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kehebatan dan tuntutan al-Quran, termasuk dalam aspek pengurusan ekonomi dan kewajipan menunaikan zakat.
Pengurus Unit Pengurusan Wakaf PPZ-MAIWP, Mohd Dziyaulhak Hashim berkata, penyertaan dan sumbangan PPZ-MAIWP dalam penganjuran WQC sejak 2015 didasari keyakinan bahawa konvensyen tersebut mampu menyuntik taw’iyyah (kesedaran) masyarakat mengenai kedudukan al-Quran sebagai kitab mukjizat yang membimbing umat Islam dalam setiap aspek kehidupan.
“PPZ-MAIWP menganggap WQC platform terbaik untuk menekankan konsep pacu ekonomi berasaskan kehendak al-Quranul Karim, termasuk penekanan tentang kefarduan dan kewajipan menunaikan zakat,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Mengulas sejauh mana WQC selari dengan fungsi PPZ-MAIWP sebagai institusi pengurusan ekonomi umat, beliau merujuk pandangan sarjana terkenal, Dr Ali Jarjawi yang menyifatkan zakat sebagai instrumen kewangan penting dalam membangunkan sosioekonomi umat.
“Apabila kewajipan zakat ditegakkan, ia bermakna seseorang telah merealisasikan tuntutan al-Quran dalam kehidupannya.
"Oleh itu, PPZ-MAIWP menyokong penuh kelangsungan program WQC kerana ia seiring dengan hasrat kami memastikan umat Islam yang layak menunaikan zakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, PPZ-MAIWP turut mengharapkan penglibatan dalam WQC 2025 dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keberkatan dalam pengurusan ekonomi diri, keluarga dan umat.
“Dalam bab ibadah harta, keberkatan diraih apabila kita menunaikan zakat. Kami berharap WQC menjadi platform untuk masyarakat sedar bahawa zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi sumber limpahan keberkatan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, pelaksanaan zakat bukan sahaja membantu asnaf, malah membentuk penerima mempunyai jati diri, progresif dan beriman, sekali gus melahirkan masyarakat santun serta inklusif.
Menurutnya, al-Quran mengajar prinsip integriti yang menjadi asas kepada pengurusan harta.
“Al-Quran menyebut konsep al-Amin sebagai simbol integriti. Harta ini amanah daripada ALLAH, dan tanggungjawab kita ialah mengurusnya serta mengembalikan 2.5 peratus zakat kepada penerima yang berhak,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur WQC dan menyifatkan program itu sangat baik kerana menjadikan al-Quran sebagai dasar dan rujukan utama.
“Apabila al-Quran dijadikan solusi dalam apa jua perkara, insya-ALLAH yang menanti ialah kebahagiaan dan kejayaan. Dalam urusan harta, al-Quran menggesa kita menunaikan zakat yang memberi manfaat kepada asnaf serta mampu menyemarakkan ekonomi umat,” katanya.
WQC 2025 bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini di Perdana Hall, MITI Kuala Lumpur dengan membawa tema “Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges”.
Konvensyen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menghimpunkan tokoh antarabangsa termasuk Nouman Ali Khan, Dr Imran Alvi, Fazrul Ismail, Datuk Prof Dr Saadiah Mohamad serta pemimpin industri seperti Tan Sri Syed Zainal Abidin.
WQC 2025 memberi tumpuan kepada pembinaan sistem ekonomi global yang adil dan beretika berasaskan nilai al-Quran, merangkumi perbincangan mengenai perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi menurut Surah Al-Saff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

