WQC hurai keseimbangan kerja, ibadah

SHAH ALAM – World #QuranConvention (WQC) 2025 yang akan berlangsung di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur bakal membincangkan konsep Tijarah sebagai pendekatan seimbang antara urusan kerja dan kehidupan seharian.
Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan menjelaskan Tijarah dalam Surah al-Jumu‘ah dan Surah al-Saff membawa maksud berbeza.
Bagaimanapun katanya, kedua-duanya menekankan kepentingan mengurus masa antara tanggungjawab bekerja dan keutamaan ibadah.
“Dalam Surah al-Jumu‘ah, umat Islam digalakkan menghentikan seketika urusan kerja apabila masuk waktu solat Jumaat sebelum kembali bekerja seperti biasa selepas itu.
“Pendekatan ini menunjukkan Islam tidak menolak aktiviti ekonomi, sebaliknya menggalakkan masyarakat bekerja dan berniaga secara seimbang serta berdisiplin,” katanya ketika sesi bual bicara pada Program Selangor International Book Fair 2025 pada Selasa.
Ujarnya, selain itu Surah al-Saff juga menggambarkan satu bentuk komitmen lebih tinggi dalam kehidupan, khususnya bagi individu yang memilih untuk memberi sumbangan besar kepada misi dan perjuangan tertentu mengikut kemampuan masing-masing.
WQC 2025 bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bertemakan Surah al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges.
Konvensyen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menghimpunkan tokoh antarabangsa selain Nouman, antaranya Dr Imran Alvi, Fazrul Ismail, Datuk Profesor Dr Saadiah Mohamad serta pemimpin industri seperti Tan Sri Syed Zainal Abidin.
WQC 2025 memberi tumpuan pembinaan sistem ekonomi global yang adil dan beretika berasaskan nilai al-Quran, merangkumi perbincangan mengenai perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi menurut Surah al-Saff.
Terdahulu Nouman menjelaskan Surah al-Saff disifatkan kekal relevan dalam kehidupan moden kerana menekankan nilai integriti, kejujuran dan keselarasan antara kata-kata dan tindakan yang semakin penting dalam dunia hari ini.
Katanya, surah itu mengingatkan manusia supaya tidak hanya pandai berjanji atau bercakap tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan seharian termasuk dalam urusan kerja dan perniagaan.
Ringkasan AI
- World #QuranConvention (WQC) 2025 akan diadakan di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kuala Lumpur membahas Tijarah sebagai pendekatan seimbang antara kerja dan kehidupan seharian
- Nouman Ali Khan, pengasas Institut Bayyinah dari AS, menjelaskan perbezaan konsep Tijarah dalam Surah al-Jumu'ah dan Surah al-Saff, keduanya menekankan pengurusan waktu antara kerja dan ibadah
- Islam menggalakkan umatnya untuk berhenti kerja semasa waktu solat Jumaat dan kembali bekerja selepas itu, menunjukkan keseimbangan antara aktiviti ekonomi dan disiplin
- Surah al-Saff menekankan pada komitmen tinggi dalam kehidupan, khususnya dalam memberi sumbangan kepada misi dan perjuangan tertentu
- WQC 2025 bertujuan membina sistem ekonomi global yang adil dan beretika berdasarkan nilai al-Quran, merangkumi perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
