WQC 2025: Mandat buat umat Islam bina kekuatan ekonomi

Nouman ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), pada Selasa.
Nouman ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesej utama Surah al-Saff menerusi World #QuranConvention (WQC) 2025 bukan semata-mata membicarakan tentang ekonomi secara global, tetapi juga menekankan mandat buat umat Islam di seluruh dunia untuk membina kekuatan dan tidak lemah mendepani cabaran.

Demikian pandangan Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan ketika ditemui Sinar Harian di pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), di sini pada Selasa.

Penceramah bebas itu berkata, kekuatan dibina dengan asas-asas tertentu antaranya ekonomi dan penting bagi pihaknya menekankan konteks tersebut sebagai satu tanggungjawab kolektif.

"Ia kerana tanpa kekuatan ekonomi, kita tidak dapat capai apa-apa pun yang ALLAH SWT mahu kita (umat Islam) capai sebagai masyarakat.

"Sepertimana wuduk adalah kewajiban untuk solat, kekuatan ekonomi pula keperluan untuk segala jenis kekuatan lain. Inilah sebahagian daripada mandat kita untuk membangunkannya," katanya.

WQC 2025 bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Kuala Lumpur, bertemakan ‘Surah al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges’.

Konvensyen anjuran WUIF itu menghimpunkan tokoh antarabangsa selain Nouman, antaranya Dr Imran Alvi, Fazrul Ismail, Datuk Profesor Dr Saadiah Mohamad serta pemimpin industri seperti Tan Sri Syed Zainal Abidin.

WQC 2025 memberi tumpuan kepada pembinaan sistem ekonomi global yang adil dan beretika berasaskan nilai al-Quran, merangkumi perbincangan mengenai perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi menurut Surah Al-Saff.

Nouman menambah, meskipun tidak dinyatakan prinsip ekonomi dalam Surah Al-Saff, namun terdapat konteks tertentu yang menyentuh soal integriti bagi memungkinkan proses selanjutnya berlaku.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh skenario dalam dunia keusahawanan, peniaga sukar mempercayai rakan usahasama bahkan ahli keluarga sendiri disebabkan kurangnya integriti, menyebabkan rata-rata memilih berurusan dengan orang luar termasuk golongan bukan Islam.

Nouman melihat kejadian sebegitu sebagai realiti yang menyedihkan dihadapi masyarakat ketika ini.

"Apabila kita tidak mempercayai seseorang (saudara seagama), tak mungkin kita nak melabur dengan mereka. Jadi, kita akan berjabat tangan dan 'invest' dengan orang lain yang lebih dipercayai serta boleh diharap walaupun mereka golongan bukan Islam.

"Saya lihat ada masalah besar mengenai integriti dalam komuniti Muslim. Jika itu terjadi, wang kita adalah untuk membangun kekayaan orang lain, bukan kekayaan sendiri kerana kita tidak menjalinkan perniagaan dengan saudara sesama Islam.

"Pada zahirnya kita mungkin 'kaya' secara individu, tetapi tidak dalam konteks masyarakat Islam disebabkan kurangnya elemen dimaksudkan," ujar beliau.

Justeru, Nouman yang juga panelis utama dan pengarah program WQC 2025 menyeru umat Islam untuk sama-sama bangkit serta mewujudkan nilai integriti antara satu sama lain menerusi jalinan kerjasama bagi merancakkan ekonomi Islam, tidak hanya setempat bahkan secara global.

Ditanya mengenai kepentingan penganjuran WQC 2025 dalam mencorak dasar dan kepimpinan secara global, Nouman memiliki pandangan bernas tentang pemahaman sedemikian.

Kata beliau, pihaknya percaya penglibatan tokoh pemikir ulung, golongan akademik dan pemegang taruh syarikat dari dalam mahupun luar negara ke konvensyen tersebut mampu membuka minda peserta menerusi perkongsian pendapat, teoritikal serta praktikal ekonomi berteraskan al-Quran.

"Saya rasa dasar atau polisi mungkin belum mampu diusahakan serta-merta, tetapi harapan saya adalah peserta sedar betapa luas dan praktikalnya kerangka ekonomi berteraskan al-Quran. Ia bukan sekadar beri idea umum dan kita perlu cari jalan untuk menjayakannya.

"Tetapi, al-Quran sebenarnya menggariskan satu set prinsip yang sangat jelas bahawa jika kita amalkan, kita tidak hanya mendapat keberkatan, dalam masa sama ekonomi turut berkembang maju," jelas Nouman.

Ringkasan AI

  • Mesej utama Surah al-Saff menekankan kepentingan membina kekuatan ekonomi bagi umat Islam untuk menghadapi cabaran
  • Nouman Ali Khan menyatakan kekuatan ekonomi adalah asas untuk semua jenis kekuatan lain yang diperlukan oleh umat Islam
  • World #QuranConvention (WQC) 2025 berfokus pada pembinaan sistem ekonomi global berdasarkan nilai-nilai al-Quran
  • Integriti dalam urusan ekonomi ditekankan sebagai salah satu prinsip utama dalam Surah Al-Saff
  • Nouman Ali Khan mengajak umat Islam untuk membangun ekonomi Islam dengan integriti dan kerjasama antara satu sama lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!