Tafsiran Barat, interpretasi Timur

SHAH ALAM - Penglibatan tokoh pemikir Islam dari Amerika Syarikat digabungkan dengan cendekiawan Malaysia di bawah bumbung World #QuranConvention (WQC) 2025 mampu membawa kepada perspektif lebih luas tentang pembangunan politik dan ekonomi global berteraskan Islam.
Pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, pihaknya membayangkan bagaimana penceramah seperti Nouman Ali Khan dari negara Barat dan tafsirannya mengenai Islam, menyatu dengan interpretasi elemen Timur dibawa pendakwah tempatan dalam usaha mendidik masyarakat.
Menurut Ahmad Sanusi, mesej yang bakal dibawa melalui WQC tidak hanya menyentuh soal ekonomi Islam global semata-mata tetapi juga kesejahteraan umat secara keseluruhannya.
“Penekanan tentang ekonomi ada dalam WQC tahun ini, begitu juga well-being iaitu kesejahteraan.
“Kalau kita tengok sejumlah tokoh popular yang hadir nanti antaranya Nouman Ali Khan, beliau terkenal dengan bidang tafsir. Kita boleh lihat nanti bagaimana kehebatan beliau membawa tafsiran dari negara Barat tentang Islam.
“Kemudian digabungkan dengan interpretasi dari sudut ketimuran oleh penceramah dari Malaysia bagi mendapatkan satu pandangan lebih luas mengenai pembangunan politik, ekonomi dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut memaklumkan tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran WQC kali ini namun terbabit sama dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) misalnya menyumbang idea untuk program berkenaan.
Bagaimanapun besar harapan beliau agar acara kali ini disertai lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, Qari My #HadithTime, Mohamad Husaini Mahmur berpandangan, sesi perkongsian ilmu menerusi WQC bakal memberikan kelainan dalam konteks sudut pandang masyarakat berpandukan kitab suci al-Quran.
Tambah beliau, konvensyen tersebut juga akan memaparkan sisi berbeza untuk orang ramai bersama-sama melihat panduan yang ditekankan daripada al-Quran itu sendiri.
“Ini bukanlah kali pertama WQC dianjurkan dan kita boleh lihat satu dimensi yang berkembang secara progresif dalam membentuk jiwa seseorang.
“Justeru, saya harap program ini berjalan dengan lancar, orang ramai boleh mengambil manfaat daripadanya dan mempraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka,” ujarnya.
WQC 2025 bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Kuala Lumpur, bertemakan ‘Surah al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges’.
Konvensyen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menghimpunkan tokoh antarabangsa termasuk Nouman Ali Khan, Dr Imran Alvi, Fazrul Ismail, Datuk Profesor Dr Saadiah Mohamad serta pemimpin industri seperti Tan Sri Syed Zainal Abidin.
WQC 2025 memberi tumpuan kepada pembinaan sistem ekonomi global yang adil dan beretika berasaskan nilai al-Quran, merangkumi perbincangan mengenai perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi menurut Surah Al-Saff.
Ringkasan AI
- Penglibatan tokoh pemikir Islam dari Amerika Syarikat dan cendekiawan Malaysia dalam WQC 2025 meningkatkan perspektif tentang pembangunan global berteraskan Islam
- Menyatu pandangan Barat dan Timur melalui penceramah seperti Nouman Ali Khan dan pendakwah tempatan untuk mendidik masyarakat
- WQC tidak hanya menyentuh ekonomi Islam global tetapi juga kesejahteraan umat Islam secara keseluruhan
- Acara ini bertujuan menarik lebih banyak peserta dari dalam dan luar negara
- WQC 2025 di Kuala Lumpur akan memfokuskan pada pembangunan sistem ekonomi global yang adil dan etika berasaskan nilai al-Quran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

