WQC 2025 selari misi perkukuh nilai Islam dalam operasi haji dan umrah

Poster program WQC 2025.
Poster program WQC 2025.
A
A
A

SHAH ALAM – Penglibatan Amal by Malaysia Airlines dalam World #QuranConvention (WQC) 2025 selari dengan usaha organisasi itu memartabatkan nilai Islam dalam perkhidmatan haji dan umrah serta pembangunan warga kerja.

Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor berkata, visi dan matlamat WQC yang menekankan pemahaman al-Quran secara menyeluruh sangat dekat dengan nilai yang cuba diterapkan dalam operasi Amal, khususnya dalam mengangkat prinsip Islam dalam pengurusan, perkhidmatan dan pembangunan ekosistem haji dan umrah.

“Bila kita melihat World #QuranConvention, objektifnya selari dengan usaha memartabatkan nilai al-Quran supaya memberi manfaat menyeluruh.

"Selama ini bila sebut Quran, ramai hanya fikir mengaji, terjemahan, tauhid atau fikah. Tetapi WQC memberi penekanan kepada 'awareness beyond' ibadah termasuk pekerjaan, pengurusan dan ekonomi,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Muhammad Najmi
Muhammad Najmi

Menurut Muhammad Najmi, penekanan tersebut seiring dengan usaha Amal memperkukuh nilai Islam dalam setiap aspek operasi, termasuk perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah.

“Amal ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan khusus kepada haji dan umrah. Kami sentiasa menambah baik perkhidmatan dengan menerapkan unsur Islam dalam pengurusan dan operasi harian.

"Bila pemahaman lebih jelas, sebarang penambahbaikan memberi impak lebih besar,” ujarnya.

Beliau berkata, manfaat itu bukan hanya untuk Amal tetapi diharap mencakupi seluruh ekosistem haji dan umrah sekiranya nilai al-Quran diamalkan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penyertaan warga kerja dalam program seperti WQC bertepatan dengan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan pekerja termasuk aspek kerohanian, pembelajaran, pembangunan dan khidmat komuniti.

“Ini antara sebab kami terlibat. WQC menyediakan peluang kepada warga Amal dan Malaysia Airlines untuk menyertai, berkongsi pengalaman serta memberi sumbangan mengikut kepakaran masing-masing. Kita juga sediakan maklumat semasa untuk mereka rujuk,” ujarnya.

Mengulas peranan program itu dalam melengkapkan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) Amal, beliau mengakui WQC membantu mengukuhkan nilai ikhlas, progresif dan efisien yang menjadi teras kepada operasi mereka.

“Contohnya dari segi ikhlas, ia berkait dengan perkhidmatan menyantuni jemaah. Progresif pula fokus kepada penyampaian perkhidmatan terbaik, manakala efisien merangkumi pengendalian operasi harian yang lebih lancar, selamat dan selesa.

"Program seperti WQC membantu kami menambah baik nilai-nilai ini,” kata beliau.

Najmi turut mengesahkan Amal telah menyertai program berteraskan al-Quran seperti WQC sejak tiga tahun lalu dan melihat potensi besar untuk memperluaskan kerjasama.

“Amal dan WQC mempunyai matlamat yang serasi. Jadi peluang kerjasama sangat besar. Selain pemahaman dan ilmu untuk penambahbaikan perkhidmatan, kami mahu kerjasama yang lebih strategik, lebih tersusun, termasuk aktiviti membina kesedaran sektor haji, perkongsian kandungan atau memasukkan bahan al-Quran dalam pesawat,” ujarnya.

Beliau berkata, Amal sentiasa terbuka untuk kerjasama lebih luas dengan WQC demi manfaat organisasi, sektor haji dan keseluruhan umat.

WQC 2025 bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini di Perdana Hall, MITI Kuala Lumpur dengan membawa tema “Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges”.

Konvensyen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu menghimpunkan tokoh antarabangsa termasuk Nouman Ali Khan, Dr Imran Alvi, Fazrul Ismail, Dato’ Prof. Dr. Saadiah Mohamad serta pemimpin industri seperti Tan Sri Syed Zainal Abidin.

WQC 2025 memberi tumpuan kepada pembinaan sistem ekonomi global yang adil dan beretika berasaskan nilai al-Quran, merangkumi perbincangan mengenai perdagangan etika, pembangunan ummah, kepimpinan, integriti dan solusi ekonomi menurut Surah Al-Saff.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!