Lima individu ditahan ingkar PKP di Terengganu

Razmi Mohd Gunnos
Razmi Mohd Gunnos
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan lima individu termasuk dua warga Kemboja kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar negeri ini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, lima lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

"Tangkapan pertama membabitkan, dua daripada mereka ditahan selepas masih berdegil bermain bola tampar dan sepak takraw beramai-ramai di padang di sebuah kampung di Marang setelah diarahkan bersurai sedangkan rakan-rakan yang lain akur dengan arahan polis.

"Dua lagi warga Kemboja ditahan ketika didapati sedang merayau-rayau di atas jalan raya dengan menunggang motosikal tanpa alasan kukuh di sebuah kampung di Dungun.

"Yang terbaharu (malam tadi), seorang lelaki tempatan ditahan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya selepas didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dalam sekatan di Seberang Takir, Kuala Nerus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, kesemua individu tersebut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, hari ini, pihaknya tidak lagi akan memberi amaran dan nasihat, sebaliknya akan terus menangkap individu yang gagal mematuhi PKP hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya kepada individu yang didapati masih lagi degil, kalau perlu penangkapan kami akan buat.

"Jadi saya meminta kerjasama orang ramai agar jangan paksa kami mengambil tindakan keras tersebut. Jangan sesekali mengundang masalah, duduk di rumah seperti diarahkan," katanya.