Lima lelaki ditahan bersama 890 liter air ketum

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan daun dan air ketum yang berjaya dirampas semasa sidang akhbar pada Ahad.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan daun dan air ketum yang berjaya dirampas semasa sidang akhbar pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan lima lelaki bersama 890 liter air ketum dalam dua serbuan berasingan pada Isnin dan Sabtu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun di sebuah rumah beralamat di Jalan Pek Timur, Kampung Pek, Machang.

"Hasil siasatan awal pihak kami berjaya merampas air ketum 750 liter dan 15 kilogram (kg) daun ketum serta peralatan memproses.

"Nilai rampasan ialah RM7,650 dan suspek mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kesalahan dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Sementara itu, dalam serbuan ke dua, Muhamad Zaki memberitahu, empat lelaki berusia 30 hingga 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Batu Sebutir, Pasir Puteh pada Isnin lalu.

Ujarnya, hasil tangkapan tersebut telah membawa kepada rampasan air ketum 140 liter, 84kg daun ketum, ubat batuk 36 liter dan alat pemprosesan bahan terbabit.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan ialah RM3,630.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan: