RM1.4 juta diperuntuk hidupkan semula Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP

TASEK GELUGOR – Sebanyak RM1.4 juta dibelanjakan bagi mengoperasikan semula Pusat Hemodialisis Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Cawangan Tasek Gelugor yang sebelum ini ditutup sejak Oktober 2020.
Pusat tersebut kembali beroperasi selepas melalui proses baik pulih, pematuhan kesihatan dan penaiktarafan fasiliti bagi memastikan ia memenuhi piawaian klinikal semasa.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, usaha menghidupkan semula pusat itu bukan satu proses mudah sebaliknya memerlukan komitmen besar dan perancangan teliti.
Menurutnya, kerja naik taraf melibatkan pematuhan bangunan termasuk merobohkan struktur tambahan lama bagi memenuhi standard kesihatan membabitkan kos lebih RM800,000.

"Selain itu, sebanyak RM120,000 digunakan bagi khidmat perunding teknikal dan jurutera bertauliah manakala RM500,000 lagi dibelanjakan bagi pembelian mesin serta peralatan dialisis berteknologi terkini.
“Ini bukti bahawa dana zakat diurus secara telus dan memberi impak besar kepada golongan asnaf. Rawatan di pusat ini ditanggung sepenuhnya oleh Zakat MAINPP untuk pesakit yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pengoperasian Semula Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP Cawangan Tasek Gelugor di sini pada Khamis.
Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazali.
Mohamad berkata, pusat berkenaan kini dilengkapi 12 mesin hemodialisis dan mampu menampung sehingga 60 pesakit sekali gus mengurangkan senarai menunggu terutama di Seberang Perai Utara.
"Matlamat strategik pengoperasian semula pusat ini turut memberi tumpuan kepada impak rawatan dan kesinambungan perkhidmatan khusus untuk pesakit asnaf.
"Pusat ini mampu menambah kapasiti rawatan dengan menyediakan mesin berteknologi terkini dan memastikan pesakit menerima rawatan lebih awal tanpa menunggu lama," ujarnya.
Mohamad berkata, pusat itu juga menyediakan rawatan percuma dan berkualiti tinggi, sepenuhnya dibiayai Zakat MAINPP selain dikendalikan tenaga kerja kesihatan berkemahiran tinggi.
"Persekitaran rawatan turut dipertingkat dengan fasiliti yang lebih moden, selesa, selamat dan memenuhi standard klinikal semasa bagi meningkatkan keyakinan pesakit.
"Antara keutamaan pusat ini ialah memastikan kelangsungan hidup pesakit asnaf yang bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan zakat untuk rawatan dialisis jangka panjang," katanya.

Menurutnya, pengoperasian semula pusat itu juga menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam mengangkat agenda kebajikan sosial serta memastikan keadilan akses rawatan kesihatan.
"Inisiatif ini selari dengan Aspirasi Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda dan dakwah.
"Projek ini adalah antara contoh bagaimana zakat dapat menjadi pemacu pelaksanaan projek berimpak tinggi,” katanya.
Beliau juga berharap pusat hemodislisis berkenaan dapat menjadi model terbaik penyampaian perkhidmatan dialisis berasaskan sumber zakat di Pulau Pinang.
"Adalah amat menggalakkan pusat hemodialisis ini menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan hospital awam, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi memperluas program sokongan pesakit termasuk pendidikan kesihatan dan pemakanan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, sasaran kutipan zakat RM200 juta tahun ini adalah kritikal untuk kesinambungan bantuan.
Pada masa sama, beliau memohon individu dan syarikat di Pulau Pinang agar menunaikan zakat melalui MAINPP bagi memastikan lebih ramai pesakit asnaf dapat menikmati rawatan percuma dan berkualiti.
Katanya, kutipan zakat yang meningkat juga akan memperkukuh bantuan pendidikan, modal perniagaan serta jaringan keselamatan sosial untuk golongan rentan.
"Kerajaan negeri akan terus mendukung usaha Zakat MAINPP untuk memperkukuh jaringan sosial termasuk dalam menyediakan kemudahan kesihatan kepada masyarakat," katanya.
Ringkasan AI
- RM1.4 juta dibelanjakan untuk membuka semula Pusat Hemodialisis Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Cawangan Tasek Gelugor yang ditutup sejak Oktober 2020
- Kerja naik taraf melibatkan pematuhan bangunan dan pembelian mesin serta peralatan dialisis berteknologi terkini
- Rawatan di pusat ini dibiayai sepenuhnya oleh Zakat MAINPP untuk pesakit yang layak
- Pusat tersebut kini dilengkapi 12 mesin hemodialisis dan mampu menampung sehingga 60 pesakit
- Pusat ini menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti rawatan dan menyediakan rawatan percuma dan berkualiti tinggi bagi pesakit asnaf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

