Battle of Marhaban 2025 julang seni dakwah di Shah Alam

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (duduk kerusi dua dari kiri) bergambar bersama tetamu dan peserta pada Program Battle of Marhaban di Dewan Melati, Seksyen 7.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (duduk kerusi dua dari kiri) bergambar bersama tetamu dan peserta pada Program Battle of Marhaban di Dewan Melati, Seksyen 7.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Battle of Marhaban 2025 julung kali dianjurkan di Parlimen Shah Alam membuka ruang baharu dalam mengangkat seni muzik dakwah berteraskan marhaban, selawat dan puji-pujian.

Ketua Pertubuhan Wanita Prihatin Shah Alam, Zarina Dzulkupli berkata, program itu bukan sahaja menyemarakkan kembali seni marhaban dalam kalangan masyarakat bandar, tetapi turut menjadi wadah memperkukuhkan hubungan komuniti melalui seni yang beradab dan sarat nilai rohani.

Menurut beliau, sambutan luar biasa itu turut menyaksikan ramai peserta dan ketua komuniti mencadangkan Battle of Marhaban dijadikan acara tahunan dengan penambahan aktiviti seperti bengkel marhaban dan selawat, latihan vokal dakwah serta himpunan marhaban peringkat komuniti.

“Permintaan ini menunjukkan kecintaan masyarakat terhadap seni marhaban sebagai medium dakwah dan penyatuan komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penganjuran di Dewan Melati, Seksyen 7 itu menghimpunkan sembilan kumpulan marhaban selain menarik kehadiran lebih 300 peserta, pengiring dan penyokong.

Zarina berkata, penganjuran sulung itu juga bertujuan menyokong kumpulan marhaban tempatan supaya terus subur selain menarik minat generasi muda mempelajari seni puji-pujian.

"Dengan penyertaan sembilan kumpulan dan kehadiran ratusan tetamu, ia membuktikan marhaban kekal relevan dan terus dicintai masyarakat Shah Alam," tambah beliau.

Acara kemuncak pertandingan menyaksikan Ummu Waheeda Selangor dari Seksyen 27 dinobatkan sebagai juara.

Kumpulan itu membawa pulang RM1,500 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Artikel Berkaitan:

Naib juara pula milik kumpulan Nurul Iman dari Seksyen 24 yang meraih wang tunai RM1,000 dan sijil.

Tempat ketiga diraih Nur Jannah dari Seksyen 19 dengan wang tunai RM500 dan sijil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!