Pasangan doktor ditangkap khalwat Julai lalu mengaku bersalah

Abdul Hakim didapati berkurung dalam keadaan menimbulkan syak bersama Nur Arifah Adlina, yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok pada 29 Julai lalu. Gambar fail
Abdul Hakim didapati berkurung dalam keadaan menimbulkan syak bersama Nur Arifah Adlina, yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok pada 29 Julai lalu. Gambar fail
A
A
A

MELAKA - Pasangan doktor yang juga kekasih masing-masing didenda RM2,600 dan RM1,800 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Julai lalu.

Hakim Kanan Syarie, Abu Bakar Mohd Daud, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abdul Hakim Abdul Rahman, 26, dan Nur Arifah Adlina Azman, 26, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang bertugas masing-masing di Hospital Melaka dan sebuah klinik di Sarawak menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hakim didapati berkurung dalam keadaan menimbulkan syak bersama Nur Arifah Adlina, yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok pada jam 3.37 petang, 29 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap Abdul Hakim dibuat mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 manakala pasangannya didakwa di bawah Seksyen 53(2) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh lelaki boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000, manakala wanita pula boleh didenda sehingga RM2,000, atau dipenjara maksimum 24 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Abdul Hakim memohon hukuman denda ringan dengan alasan tekanan yang dialaminya membuatkan dia insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Dia juga memaklumkan mereka bakal berkahwin tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Nur Arifah Adlina turut menyatakan dia menyesal dan insaf selain mengakui mengalami tekanan emosi kerana ini merupakan kesalahan pertamanya sebagai penjawat awam.

Sementara itu, Radzwan dalam hujahnya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan itu merupakan dosa besar dan kesalahan serius.

Beliau menegaskan rayuan untuk pengurangan hukuman tidak disokong alasan munasabah memandangkan kedua-duanya merupakan doktor.

 

 

Ringkasan AI

  • Pasangan doktor di Melaka didenda RM2,600 dan RM1,800 selepas mengaku bersalah berkhalwat
  • Tertuduh menghadapi hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda
  • Didapati berkurung dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana
  • Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 53(1) dan Seksyen 53(2) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991
  • Kedua-dua tertuduh menyesal dan memohon hukuman denda ringan, menyatakan tekanan dan bakal berkahwin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!