Wanita bawa tunang balik rumah, ditangkap khalwat ketika ibu pulang kampung

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang wanita membawa tunangnya bermalam di rumah tanpa pengetahuan ibu akhirnya mengundang padah apabila kedua-duanya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu operasi pada jam 3 pagi.
Menurut JAINJ, serbuan pada Sabtu itu dilakukan selepas menerima maklumat awam mengenai keadaan mencurigakan di sebuah rumah teres di bandar ini.
“Ketika tiba, keadaan luar dan dalam rumah gelap, menyebabkan penguat kuasa mengetuk pintu berulang kali sambil memberikan amaran.
“Bagi mengelakkan cubaan melarikan diri, dua anggota ditempatkan di pintu belakang.
“Selepas lebih 15 minit, ketika amaran untuk memotong mangga dikeluarkan, pintu belakang tiba-tiba terbuka dan seorang lelaki cuba meloloskan diri sebelum terpaksa berpatah balik apabila mendapati pintu belakang sudah dijaga ketat,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, sebaik pintu utama dibuka oleh seorang wanita berpakaian lengkap dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang juga berpakaian lengkap tetapi jelas kelihatan cemas selepas cubaan melarikan diri gagal.
Siasatan mendapati mereka adalah pasangan tunang berusia lingkungan 20-an, tinggal di rumah tersebut sementara ibu wanita dikatakan pulang ke kampung atas urusan keluarga.
“Pemeriksaan di bilik wanita menemukan beberapa keadaan yang mencurigakan. Gebor di atas katil didapati bergulung, bantal jatuh ke lantai dan keseluruhan katil kelihatan tidak terurus seperti baru digunakan.
"Keadaan itu menimbulkan syak wujud perlakuan yang melanggar batas syarak sebelum serbuan dilakukan,” ujarnya.
Menurut JAINJ, pasangan itu dipercayai sering mengambil kesempatan ketika ibu wanita tiada di rumah.
“Mereka mengaku sudah bertunang dan dijangka berkahwin tahun hadapan, namun menyalahanggap pertunangan sebagai lesen untuk berdua-duaan tanpa pengawasan.
“Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat,” katanya.
Ringkasan AI
- Wanita membawa tunang bermalam di rumah tanpa pengetahuan ibu ditahan penguat kuasa JAINJ
- Serbuan dilakukan selepas maklumat awam tentang keadaan mencurigakan di sebuah rumah teres
- Penguat kuasa mendapati pasangan tunang berusia 20-an bermalam sementara ibu wanita tiada di rumah
- Siasatan awal menunjukkan syak wujud perlakuan melanggar batas syarak
- Pasangan menganggap pertunangan sebagai lesen untuk berdua-duaan tanpa pengawasan dan ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

