Perak tambah peruntukan JPS RM116.9 juta atasi banjir

Hampir 3,000 mangsa banjir di Perak telah dipindahkan ke 34 PPS melibatkan tujuh daerah.
Hampir 3,000 mangsa banjir di Perak telah dipindahkan ke 34 PPS melibatkan tujuh daerah.
A
A
A

IPOH - Perak menambah peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada RM116.9 juta bagi memperkukuh usaha mitigasi dan pemulihan banjir di seluruh negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, tambahan peruntukan RM5.4 juta itu merangkumi penyelenggaraan rancangan pengairan (RM10.4 juta), pengurusan sungai (RM11.3 juta), saliran pertanian (RM9.2 juta), mekanikal dan elektrikal (RM3.6 juta) serta kemudahan hidrologi (RM0.9 juta).

Menurutnya, bagi belanja pembangunan pula, RM14 juta diperuntukkan untuk pelbagai projek termasuk rancangan tebatan banjir (RM7.5 juta), pengurusan sungai dan pantai (RM4 juta), saliran pertanian (RM1.7 juta), bangunan dan infrastruktur (RM0.2 juta) serta Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (RM0.6 juta).

"Banjir masih menjadi igauan rakyat khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko.

"Walaupun peruntukan dinaikkan dari tahun ke tahun dan pelbagai usaha mitigasi digerakkan, tetap ada keluarga yang menanggung bahana banjir.

"Harta benda yang dikumpul sekian lama musnah sekelip mata, harapan yang digenggam akhirnya luruh begitu sahaja," katanya sebak.

Saarani berkata, kerajaan negeri menuntut tindakan lebih proaktif daripada JPS dalam pencegahan dan pemulihan agar amaran cuaca tidak lagi berubah menjadi detik cemas kepada rakyat.

"Tinggi harapan saya supaya dengan peruntukan ini, JPS lebih proaktif dalam merancang secara strategik dan teratur supaya masalah banjir besar yang sering menghambat kehidupan rakyat dapat ditangani sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui beberapa projek besar di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-13, termasuk projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir (RM50 juta) dan pembinaan Infrastruktur SABO (RM75 juta).

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 12 tengah hari pada Selasa, hampir 3,000 mangsa banjir di Perak telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh daerah iaitu Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Batang Padang, Hilir Perak serta Muallim.

Ringkasan AI

  • Perak menambah peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran kepada RM116.9 juta untuk mitigasi dan pemulihan banjir
  • Tambahan peruntukan RM5.4 juta merangkumi penyelenggaraan pengairan, pengurusan sungai, saliran pertanian, mekanikal dan elektrikal serta kemudahan hidrologi
  • RM14 juta diperuntukkan untuk projek tebatan banjir, pengurusan sungai dan pantai, saliran pertanian, bangunan serta pemuliharaan biodiversiti
  • Banjir masih menjadi masalah utama menyebabkan kerugian harta benda dan kesulitan kepada rakyat Perak
  • Kerajaan negeri mendesak JPS untuk tindakan proaktif dalam pencegahan dan pemulihan banjir, sambil menerima sokongan projek dari Kerajaan Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!