Perak bentang belanjawan negeri RM1.61 bilion, fokus bela rakyat

IPOH - Kerajaan Perak pada Selasa membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion yang merangkumi RM1.045 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM568 juta bagi perbelanjaan pembangunan, sekali gus menjadi belanjawan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri.
Belanjawan bertema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera itu memberi fokus kepada lima bidang utama: kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan dan belia; kelestarian alam sekitar; serta keterjaminan bekalan makanan dengan matlamat utama terus membela rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah berkenaan meningkat RM80 juta berbanding Belanjawan 2025, hasil sumbangan daripada kutipan cukai sebanyak RM691 juta, hasil bukan cukai RM559 juta, terimaan bukan hasil RM230 juta dan terimaan pembangunan RM38 juta.
Beliau berkata, bagi perbelanjaan mengurus, pecahan komposisi melibatkan emolumen sebanyak RM496 juta; perkhidmatan dan bekalan RM385.9 juta; pembelian aset RM13.9 juta; pemberian dan kenaan bayaran tetap RM143.8 juta; serta lain-lain perbelanjaan RM5.9 juta.
“Peningkatan perbelanjaan mengurus ini mengambil kira pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 iaitu kenaikan tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana, manakala tiga peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi berkuat kuasa 1 Januari 2026, selain kadar kenaikan gaji tahunan,” katanya.
Saarani berkata, peruntukan pembangunan turut ditambah sebanyak RM30 juta atau peningkatan 5.6 peratus berbanding tahun 2025 bagi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong kedudukan kewangan negeri yang kekal positif.
“Peruntukan RM568 juta bagi maksud pembangunan ini adalah yang tertinggi pernah disediakan kerajaan negeri. Ia membolehkan pertumbuhan ekonomi dipacu dan projek pembangunan dilaksanakan secara berkesan selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu, sektor kesejahteraan rakyat menerima peruntukan terbesar berjumlah RM718.5 juta iaitu peningkatan RM89.8 juta berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh perkhidmatan rakyat dan memperluas jaringan kebajikan.
Antara inisiatif tersebut termasuk peluasan Kad Perak Sejahtera kepada 21,000 penerima, pengukuhan program Jualan Sejahtera Rakyat dan Jualan Sejahtera Rahmah serta peningkatan Bantuan Kotak Makanan.
Selain itu, sebanyak RM130.8 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meliputi pengukuhan operasi, pembangunan institusi pentadbiran Islam, serta kerja baik pulih masjid, surau dan sekolah agama.
Bagi aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan belia, kerajaan negeri menyediakan RM100.59 juta yang merangkumi bantuan pendidikan, biasiswa Menteri Besar, program tuisyen Cikgu Saarani dan bantuan pelajar universiti.
Turut diperuntukkan ialah RM7 juta bagi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir mengikut keperluan industri.
Sektor keterjaminan makanan pula menerima RM73.06 juta meliputi projek tanaman strategik dan pembangunan kebun komuniti.
Mengakhiri pembentangan, Saarani berkata, belanjawan ini menjadi komitmen pentadbiran negeri untuk terus bekerja, mendengar dan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.
"Ia menjadi ikrar saya dan rakan-rakan jentera pentadbiran agar setiap ringgit dibelanjakan benar-benar kembali kepada rakyat, meringankan beban mereka, membuka peluang baharu dan menyalakan harapan bagi setiap anak Perak untuk masa hadapan yang lebih cerah," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion, belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri
- Belanjawan fokus kepada kesejahteraan rakyat, tadbir urus, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar, dan keterjaminan bekalan makanan
- Peningkatan RM80 juta daripada Belanjawan 2025 dengan sumbangan utama dari kutipan cukai dan hasil bukan cukai
- Perbelanjaan mengurus melibatkan kenaikan gaji penjawat awam di bawah SSPA Fasa 2 berkuat kuasa 1 Januari 2026
- Sektor kesejahteraan rakyat menerima peruntukan terbesar berjumlah RM718.5 juta, peningkatan RM89.8 juta dari tahun sebelumnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

