Jemaah haji Perak terima RM1,000 seorang

IPOH - Jemaah haji di Perak menerima bantuan khas RM1,000 seorang bagi persiapan menunaikan ibadat haji musim 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif pertama kali diperkenalkan itu melibatkan peruntukan RM3 juta untuk diagihkan kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji negeri ini.
Menurutnya, bantuan tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap kesungguhan rakyat Perak melaksanakan Rukun Islam kelima, selain membantu sokongan kewangan kepada mereka.
"Warkah belanjawan ini juga membawa khabar gembira kepada bakal jemaah haji di negeri ini.
"Buat julung kalinya, kerajaan negeri memperuntukkan RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 jemaah yang bakal menunaikan haji tahun hadapan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mendedahkan, sebanyak 50 peratus jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini, menolak tawaran berkenaan.
Faktor penolakan tawaran itu dikenal pasti berpunca daripada masalah kewangan dihadapi jemaah terbabit.
Berdasarkan rekod sama juga, 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang daripada RM1,300 iaitu belum layak untuk menunaikan haji kerana tidak mencukupi bagi menampung keperluan ibadah berkenaan.

Ringkasan AI
- Jemaah haji di Perak menerima bantuan khas RM1,000 seorang bagi persiapan ibadat haji musim 2026
- Menteri Besar Perak mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk diagihkan kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji
- Bantuan itu adalah penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Perak yang menunaikan Rukun Islam kelima
- Inisiatif bantuan RM1,000 tersebut diperkenalkan buat julung kalinya
- 50 peratus jemaah haji terpilih tahun ini menolak tawaran kerana masalah kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

