Perak rekod hatrik surplus, hasil tertinggi RM1.24 bilion

 Prestasi kewangan Kerajaan Perak terus menunjukkan trend positif apabila mencatat surplus tiga tahun berturut-turut dengan rekod kutipan hasil melebihi RM1.24 bilion setakat 24 November.
Prestasi kewangan Kerajaan Perak terus menunjukkan trend positif apabila mencatat surplus tiga tahun berturut-turut dengan rekod kutipan hasil melebihi RM1.24 bilion setakat 24 November.
A
A
A

IPOH - Prestasi kewangan Kerajaan Perak terus menunjukkan trend positif apabila mencatat surplus tiga tahun berturut-turut dengan rekod kutipan hasil melebihi RM1.24 bilion setakat 24 November.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan mengurus fiskal negeri secara berhemat telah mengembalikan kekuatan kewangan Perak selepas melalui tempoh mencabar tiga hingga empat tahun sebelum ini.

Menurutnya, mengikut rekod, Perak mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta pada 2023 dan RM45.6 juta pada 2024.

"Daripada mencatat defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, negeri ini kembali mencatatkan lebihan untuk tiga tahun berturut-turut.

"Pencapaian ini mengesahkan bahawa disiplin tatakelola dan kecekapan pentadbiran adalah kekuatan sebenar Perak dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Perak juga sekali lagi mencipta sejarah apabila kutipan hasil negeri melepasi angka RM1 bilion lebih awal daripada jangkaan.

"Setakat semalam (24 November), kerajaan negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.24 bilion. Bukit kita semakin gagah dalam membina kekuatan masa hadapan," katanya.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah, serta agensi lain atas kejayaan meningkatkan hasil negeri.

Momentum fiskal yang stabil ini membolehkan Perak merangka Belanjawan 2026 dengan unjuran hasil dan terimaan pembangunan mencecah RM1.61 bilion, iaitu peningkatan RM80 juta berbanding belanjawan sebelumnya.

Saarani menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus mengamalkan dasar fiskal yang seimbang supaya prestasi positif ini dapat dikekalkan.

"Alhamdulillah, berkat kerja keras jentera pentadbiran dan semangat juang rakyat, Perak kembali ke landasan kemajuan.

"Dari sebuah negeri yang hampir luluh, kita kini berjaya membentangkan belanjawan dengan anggaran perbelanjaan tertinggi dalam sejarah untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM1.52 bilion pada 2025 dan RM1.61 bilion untuk tahun 2026," katanya.

Ringkasan AI

  • Prestasi kewangan Kerajaan Perak menunjukkan trend positif dengan mencatat surplus tiga tahun berturut-turut
  • Kutipan hasil negeri melebihi RM1.24 bilion setakat 24 November
  • Perak mencatat surplus sebanyak RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta pada 2023, dan RM45.6 juta pada 2024 setelah defisit pada 2020 dan 2021
  • Kutipan hasil negeri yang melepasi RM1 bilion lebih awal daripada jangkaan menandakan kekuatan kewangan Perak
  • Belanjawan 2026 dirangka dengan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.61 bilion, menunjukkan peningkatan RM80 juta berbanding belanjawan sebelumnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!