Mahkamah tolak permohonan Setiausaha DKU mencelah kes Exco Negeri Sembilan

 Raja Norazli. Foto Bernama
Raja Norazli. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin untuk bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula yang difailkan oleh 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Negeri.

Hakim, Roz Mawar Rozain dalam prosiding yang diadakan secara sidang video berkata, Setiausaha DKU tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam kes berkenaan.

Ini kerana, katanya, kepentingan yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut adalah milik DKU sebagai sebuah institusi dan bukannya Setiausaha DKU secara individu.

Justeru, beliau membenarkan permohonan DKU untuk mencelah dan menetapkan institusi itu sebagai defendan ketiga, dengan penglibatannya dihadkan kepada isu-isu berkaitan yang akan ditentukan kemudian.

Roz Mawar turut menekankan bahawa kehadiran DKU adalah penting bagi memastikan keputusan dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh termasuklah mengenai 'Raja Pemerintah' yang dibangkitkan plaintif mengikut Perkara 28(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau turut bersetuju hujahan pihak plaintif bahawa DKU tidak mempunyai sebarang fungsi berhubung pelantikan dan pembatalan Exco.

Selain itu, mahkamah turut merekodkan pengesahan pihak plaintif bahawa prosiding tersebut akan diteruskan tanpa meminta mahkamah menentukan kesahan proklamasi bertarikh 19 April 2026 atau pihak yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum itu, peguam mewakili plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun memaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah menarik balik persetujuan pelantikan peguam luar untuk mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri berhubung representasi bagi saman pemula berkenaan.

Beliau berkata, dalam surat bertarikh 29 Oktober yang dihantar kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, dinyatakan kerajaan negeri perlu meneliti penggunaan wang awam atas dua alasan.

Artikel Berkaitan:

"Pertama adalah adanya implikasi kewangan yang akan wujud dengan menggunakan khidmat peguam luar dan itu tidak dapat dinilaikan dengan sewajarnya.

"Yang kedua paling penting, sebarang keputusan melibatkan komitmen Kerajaan Negeri yang signifikan hendaklah terlebih dahulu dibawa untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK),"katanya.

Beliau berkata, dalam surat itu dinyatakan setakat ini, MMK tidak bersidang dan perkara berhubung pelantikan peguam luar serta implikasi kewangannya tidak dapat dipertimbangkan dan diputuskan sewajarnya.

"Justeru, tidak wajar untuk kerajaan negeri terus menanggung komitmen perbelanjaan sedemikian," katanya.

Sementara itu, Muzalmah berkata, surat itu dihantar ke pejabatnya pada Jumaat lalu yang mana ketika itu beliau sedang menghadiri mesyuarat di Langkawi dan hanya dimaklumkan yang peguam telah memfailkan afidavit tambahan pada waktu petang hari yang sama (30 Oktober 2026).

Beliau memaklumkan hanya berkesempatan membalas surat tersebut pada pagi Isnin.

Jelasnya, di dalam surat maklum balas tersebut dinyatakan bahawa pelantikan peguam bagi

defendan satu dan dua adalah berdasarkan 'fiat' yang dikeluarkan oleh beliau pada 19 Oktober 2026 dan 21 Oktober 2026 di dalam kuasa beliau di bawah Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Selain itu, Musalmah turut mengesahkan bahawa 'fiat' terbabit masih sah dan peruntukkan itu tidak memberi kuasa kepada Menteri Besar untuk memberi atau menarik baliknya.

"Saya dah berjumpa dengan Menteri Besar (sebelum ini) dan menyatakan perlantikan peguam dan tidak dinyatakan bantahan dan tiada dibincangkan tentang fi (pembayaran), isu itu tidak timbul sekarang ini, isu berasingan dari pelantikan, " katanya.

Roz Mawar turut mempersoalkan sama ada surat oleh Ismail itu dibuat atas kapasiti peribadi atau kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.

Beliau kemudiannya menolak bantahan dikemukakan plaintif berhubung perkara itu dan kos diberikan di dalam kos.

Pada masa sama plaintif juga memohon agar prosiding terbabit ditangguh sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.

Pihak defendan memohon masa untuk

membalas permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian mengarahkan agar afidavit difailkan pada 6 November 2026 dan hujahan difailkan pada 11 November 2026, manakala tarikh pendengaran ditetapkan pada 16 November 2026.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan bagi bantahan awal pihak defenden pada 16 November ini, jam 10 pagi secara sidang video.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!