Rumah Terbuka Deepavali Perak sasar 20,000 pengunjung

Sivanesan (kiri) ketika meninjau operasi perniagaan di Little India, Ipoh menjelang Sambutan Hari Deepavali pada Sabtu.
Sivanesan (kiri) ketika meninjau operasi perniagaan di Little India, Ipoh menjelang Sambutan Hari Deepavali pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung ke Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini pada 14 November depan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, majlis bermula jam 2 petang itu menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, majlis berkenaan turut dijadual dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta pegawai kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri memberi perhatian sepenuhnya, memastikan kebajikan masyarakat India dan kaum lain di Perak terus diberi perhatian tanpa ada pihak yang dipinggirkan.

"Saya berharap keharmonian dan perpaduan ini dapat terus dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemeriahan menjelang Sambutan Hari Deepavali di Little India di sini pada Sabtu.

Sivanesan berkata, meskipun masyarakat India merangkumi kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan penduduk Perak, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan setiap tahun.

Katanya, bantuan itu merangkumi aspek keagamaan termasuk sumbangan kepada kuil, kebajikan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Dalam aspek pendidikan pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi membantu 134 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini," katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan Perak 2027 November ini, Sivanesan yang juga Pengerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) berharap, peruntukan tambahan bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inisiatif itu penting bagi membantu golongan muda meningkatkan kemahiran sekali gus membuka peluang mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!