33 negara gesa rakyat simpan bekalan

Rakyat digalakkan menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.Gambar hiasan.
Rakyat digalakkan menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.Gambar hiasan.
A
A
A

NEW YORK – Sebanyak 33 negara di seluruh dunia dikenal pasti mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.

Menurut laporan media antarabangsa, langkah tersebut diambil ketika dunia berdepan pelbagai ancaman termasuk peperangan, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.

Antara negara yang memperkukuh kempen kesiapsiagaan ialah Perancis dan United Kingdom yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari.

Kerajaan wilayah Normandy, Perancis turut mengingatkan penduduk supaya tidak menunggu sehingga kecemasan berlaku sebelum membuat persediaan.

“Jangan tunggu kecemasan berlaku, bersedialah sekarang!” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosial pada Selasa.

Perdana Menteri Britain, Andy Burnham pula menggalakkan penduduk menyimpan makanan tahan lama seperti kacang dalam tin dan sup sebagai sebahagian daripada persediaan kecemasan.

Kanada, Jepun, Mexico dan Belanda turut menyarankan simpanan bekalan untuk tempoh tiga hari, manakala Sweden serta Norway menggalakkan persediaan mencukupi selama seminggu.

Jerman pula mengesyorkan bekalan sehingga 10 hari bagi membolehkan isi rumah mengurus keperluan asas sekiranya bantuan atau perkhidmatan penting terganggu.

Di Amerika Syarikat, panduan rasmi kerajaan menggalakkan rakyat menyediakan makanan, air dan keperluan kecemasan untuk beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, India menasihatkan setiap keluarga mempunyai kit kecemasan bencana tanpa menetapkan tempoh simpanan khusus dalam panduan yang dirujuk laporan tersebut.

Antara barangan disyorkan termasuk makanan tahan lama, air minuman, ubat-ubatan, bateri, lampu suluh dan radio.

Kesatuan Eropah sebelum ini memperkenalkan strategi kesiapsiagaan pada Mac 2025 susulan peningkatan ketegangan geopolitik, ancaman konflik dan risiko bencana akibat perubahan iklim.

Di Amerika Syarikat, Pentagon turut memperkenalkan inisiatif FORTRESS bagi memastikan lebih banyak pangkalan tenteranya mampu beroperasi secara berdikari sehingga 90 hari sekiranya rantaian bekalan terganggu.

Bagaimanapun, langkah ketenteraan itu berbeza daripada nasihat penyimpanan bekalan kecemasan kepada orang awam.

Walaupun semakin banyak negara menekankan kepentingan persediaan, panduan tersebut tidak bermakna kerajaan menjangkakan peperangan atau bencana besar pasti berlaku dalam masa terdekat.

Sebaliknya, ia bertujuan meningkatkan kemampuan masyarakat menghadapi gangguan sementara sebelum bantuan kecemasan tiba.

INFO: 33 negara saran simpan bekalan kecemasan

3 HARI (72 JAM)

Perancis, United Kingdom, Kanada, Jepun, Mexico, Belanda.

7 HARI (SEMINGGU)

Sweden, Norway.

10 HARI

Jerman.

BEBERAPA HARI

Amerika Syarikat.

TEMPOH TIDAK DIPERINCIKAN DALAM LAPORAN

- Eropah: Ireland, Denmark, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Czech, Austria, Switzerland, Croatia.

- Asia: Taiwan, Israel, India, Filipina, Singapura.

- Amerika Selatan: Chile, Colombia, Argentina, Brazil.

- Oceania: Australia, New Zealand.

- Afrika: Afrika Selatan. - Sumber Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!