KPDN terima 25 laporan petrol bercampur air di Perak

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima 25 aduan berkaitan dakwaan pencemaran air dalam petrol RON95 di negeri ini sejak 5 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan berkenaan diterima di lima daerah iaitu Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar dan Manjung.
Menurutnya, pihak KPDN telah mengambil sampel petrol dari lokasi yang diadukan sebelum menghantarnya kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
"Sejak 5 Oktober hingga semalam, 31 Oktober, kita menerima sebanyak 25 aduan yang melibatkan lima daerah di Perak.
"Apa yang kita lakukan adalah mengambil sampel dan menghantarnya kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan keputusan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan PCSH Pink & Purple 5KM Fun Run 2026 di Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Presiden PCSH, Datuk Lee Hau Hian.
Menurut Kamalludin, pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal berkenaan sebelum menentukan tindakan lanjut terhadap aduan yang diterima.
Katanya, tempoh untuk mendapatkan keputusan itu tidak dapat dipastikan memandangkan semua sampel berkenaan perlu melalui prosedur pemeriksaan Jabatan Kimia Malaysia.
"Setakat ini, kita masih belum menerima keputusan daripada Jabatan Kimia. Kita tunggulah hasil analisis tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau menjelaskan, kesemua 25 aduan yang diterima setakat ini hanya melibatkan petrol RON95 dan tidak membabitkan bahan api diesel mahupun RON97.
Dalam pada itu, Kamalludin menasihatkan pengguna yang mengalami kerugian akibat pencemaran bahan api berkenaan supaya mengumpulkan dokumen serta bukti berkaitan bagi membolehkan tuntutan dibuat.
Menurutnya, pengguna boleh mengemukakan tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau Mahkamah Sivil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


