Syarat sihat demi keselamatan jemaah haji

KEPUTUSAN kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan yang ketat buat bakal jemaah haji untuk musim 1447H/2026 menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan umat Islam.
Di sinilah pentingnya kita memahami bahawa ibadah haji bukan sekadar pelengkap Rukun Islam, malah ia merupakan perjalanan fizikal dan mental sangat mencabar berbanding ibadah wajib lain.
Realitinya, ibadah haji hari ini tidak sama seperti 20 atau 30 tahun lalu dengan jumlah bilangan jemaah kini mencecah jutaan orang dalam satu masa, ditambah melibatkan pergerakan berjalan jauh, menaiki bukit, panas ekstrem, kesesakan serta risiko kesihatan yang meningkat.
Catatan perubatan menunjukkan bahawa jemaah yang obesiti lebih cenderung mengalami serangan jantung, strok haba, kegagalan jantung atau keletihan melampau ketika menunaikan manasik haji.
Maka syarat ini bukanlah satu bentuk diskriminasi, malah ia merupakan satu bentuk tindakan pencegahan yang baik buat bakal jemaah haji.
Arab Saudi dan negara pengurus jemaah haji termasuk Malaysia, memikul tanggungjawab bagi memastikan semua yang hadir bukan sahaja dapat menyempurnakan ibadah, bahkan kembali ke tanah air dalam keadaan sihat dan selamat.
Tidak ada manfaatnya bagi seseorang berangkat ke Tanah Haram untuk haji jika risiko kesihatannya terlalu tinggi sehingga boleh mengancam nyawa sendiri atau menyusahkan jemaah lain.
Ini kerana ibadah haji diwajibkan hanya bagi mereka yang memiliki kemampuan (istita’ah) dan ia bukanlah kemampuan dari segi kewangan semata-mata, tetapi turut merangkumi kesihatan dan keupayaan fizikal.
Kita akui syarat sihat dan bebas daripada penyakit kronik tidak terkawal ini mungkin mengundang rasa kecewa bagi mereka yang sudah lama menunggu giliran.
Bagaimanapun, kita juga perlu melihatnya sebagai peluang untuk memperbaiki tahap kesihatan sebelum berangkat.
Penurunan berat badan buat mereka yang obesiti dan berpenyakit, bukan sahaja membantu memenuhi syarat, tetapi memastikan perjalanan ibadah lebih lancar, selesa dan selamat.
Akhirnya, syarat kesihatan ini harus dilihat dari sudut hikmah, bukannya halangan. Ia bukan pintu yang tertutup, sebaliknya peringatan lembut agar kita mempersiapkan diri sebaik mungkin.
Bertindaklah segera, turunkan berat menjadi ideal untuk badan yang sihat sebelum mengerjakan ibadah agung ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
