Putera Mahkota Arab Saudi didakwa buat Trump kecewa

Trump (kiri) dan MBS tiba di Forum Pelaburan AS-Arab Saudi di Kennedy Center, Washington DC. Foto: AFP
Trump (kiri) dan MBS tiba di Forum Pelaburan AS-Arab Saudi di Kennedy Center, Washington DC. Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan berasa 'kecewa' dan 'marah' selepas pertemuan 'tegang' dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) mengenai usaha normalisasi hubungan dengan Israel minggu lalu, menurut laporan televisyen Israel pada Selasa.

Saluran Channel 12, memetik dua pegawai kanan AS dan seorang sumber yang mengetahui perbincangan tersebut melaporkan bahawa Trump sendiri yang membangkitkan isu berkenaan dan mendesak Putera Mahkota agar segera meneruskan proses normalisasi.

Namun begitu, MBS menolak secara berhikmah dengan menyatakan bahawa meskipun beliau tidak menentang normalisasi secara prinsip, sentimen anti-Israel yang meluas dalam kalangan rakyat Arab Saudi selepas perang di Gaza menyukarkan langkah itu pada masa ini.

Walaupun perbincangan berlangsung dalam suasana sopan, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat memberitahu saluran tersebut bahawa Trump berasa amat kecewa dan marah terhadap penolakan Putera Mahkota itu.

Pegawai tersebut menambah bahawa MBS tidak menolak secara mutlak prospek normalisasi dengan Israel dalam pertemuan itu.

Sebaliknya, beliau meninggalkan ruang untuk kemungkinan masa depan, namun tetap menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah syarat utama yang telah beliau nyatakan secara terbuka di Rumah Putih.

“Dengan perang di Gaza yang semakin reda, adalah penting bagi Presiden Trump agar semua negara di Asia Barat menyertai Abraham Accords bagi memajukan keamanan serantau,” kata seorang pegawai kanan Rumah Putih.

Duta Arab Saudi di Washington tidak memberikan sebarang respons terhadap laporan tersebut, manakala pihak Rumah Putih pula menegaskan semula gesaan Presiden Trump agar negara-negara Asia Barat menandatangani perjanjian tersebut.

Arab Saudi tetap berpendirian bahawa penubuhan hubungan formal dengan Israel hanya akan berlaku sekiranya terdapat langkah yang kredibel ke arah pembentukan negara Palestin iaitu syarat yang sehingga kini ditolak oleh kerajaan Israel.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu temu bual minggu lalu, menyatakan bahawa “tidak akan ada negara Palestin,” meskipun kenyataan itu dijangka menjejaskan peluang normalisasi dengan Riyadh.

Namun begitu, Netanyahu menambah bahawa "syarat-syarat boleh berubah" bagi membolehkan normalisasi berlaku, memandangkan konflik antara Israel dan Hamas di Gaza kini mulai reda.

“Namun, syarat tersebut mesti dipersetujui kedua-dua pihak dan ia mesti menguntungkan kedua-duanya. Saya tahu bagaimana untuk mempertahankan syarat penting kami tanpa menjejaskan keselamatan negara.

"Jika proses ini berkembang pada masa akan datang, itu baik. Jika tidak, kami akan terus melindungi kepentingan utama kami,” katanya. - Agensi

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan berasa 'kecewa' dan 'marah' selepas pertemuan 'tegang' dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) berkenaan usaha normalisasi hubungan dengan Israel
  • Trump mendesak MBS untuk segera meneruskan proses normalisasi namun MBS menolak dengan menyatakan sentimen anti-Israel dalam kalangan rakyat Arab Saudi sebagai halangan utama
  • Walaupun pertemuan berlangsung dalam suasana sopan, Trump tetap berasa amat kecewa dengan sikap MBS yang tidak menolak secara mutlak tetapi menyatakan penyelesaian dua negara sebagai syarat utama
  • Kedutaan Arab Saudi di Washington tidak memberi respons, sementara Rumah Putih menegaskan semula agar negara-negara Asia Barat menyertai Abraham Accords untuk memajukan keamanan serantau
  • Netanyahu menyatakan "tidak akan ada negara Palestin" tetapi juga menambah "syarat-syarat boleh berubah" memandangkan konflik antara Israel dan Hamas di Gaza kini mulai reda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!