Sanggup panjat atap, sorok dalam tandas elak dicekup Imigresen


CAMERON HIGHLANDS - [KEMAS KINI] Helah pendatang tanpa izin (PATI) bersembunyi di dalam kereta dan tandas bagi mengelak ditahan gagal apabila berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi secara besar-besaran di sini pada Khamis.
Serbuan Ops Gempur bermula pada jam 11 pagi itu dibahagikan kepada empat zon utama di sekitar Cameron Highlands yang berfokus di kawasan bangunan komersial yang dijadikan tempat tinggal dan bekerja, termasuk kawasan pertanian berhampiran.
Tinjauan mendapati majoriti warga asing berasal daripada Bangladesh, Myammar, Indonesia dan Nepal itu bekerja sebagai buruh, pekerja restoran, pemandu lori serta pekebun.
Ketika pemeriksaan, sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota JIM.
Seorang lelaki warga Bangladesh dikesan menyorok dalam tandas sambil bersembunyi di belakang pintu.
Lelaki yang dikenali sebagai Sardar, 33, yang ditemui menyorok dalam tandas kerana terlalu takut ditahan.
“Saya baru datang empat bulan. Visa saya tamat tempoh bulan lalu... saya sudah pulang ke kampung (Bangladesh) pada Mei dan datang semula ke Malaysia Ogos lalu untuk kerja," katanya.
Sardar mendakwa, bekerja sebagai buruh kebun dengan gaji RM75 sehari itu cukup untuk menampung kehidupan seharian dan keluarga di kampung.
Turut kelihatan seorang lelaki warga asing cuba bersembunyi di dalam kereta sambil berpura-pura tidur, manakala seorang lelaki lagi sanggup memanjat ke atap bangunan kedai untuk meloloskan diri.
Difahamkan, lot tingkat atas bangunan komersial didapati diubah suai menjadi bilik sewa oleh warga asing dan tempatan dengan bayaran RM300 untuk satu bilik.
Tinjauan turut mendapati, terdapat beberapa warga asing cedera ketika cuba melarikan diri dan kemudian diberi rawatan kecemasan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Fauzi, 30, pula mengaku masuk ke Malaysia melalui jalan tikus pada tahun 2022 selepas membayar RM3,000 kepada ejen.
“Saya datang dengan kawan-kawan. Gaji saya lebih kurang RM1,800 sebulan sebagai pekerja kedai pemborong sayur,” katanya.
Katanya, dia mendakwa memilih kerja di Malaysia kerana mengikut rakan yang mengajaknya, selain kos sara hidup.
Berdasarkan maklumat, beberapa warga Bangladesh mendakwa ejen di negara asal mengenakan bayaran sehingga RM12,000 untuk bekerja di Malaysia.
Ringkasan AI
- Pusat komersial dan kawasan pertanian Cameron Highlands digempur Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi serbuan besar-besaran
- Majoriti warga asing yang bekerja berasal dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal
- Sebahagian daripada pendatang asing mencuba melarikan diri ketika pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia
- Seorang lelaki warga Bangladesh menyorok dalam tandas dan mengaku visa sudah tamat tempoh, bekerja sebagai buruh kebun dengan gaji RM75 sehari
- Lelaki warga Myanmar masuk ke Malaysia melalui jalan tikus dengan membayar RM3,000 kepada ejen, kini bekerja sebagai pekerja kedai pemborong sayur dengan gaji RM1,800 sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
