Tulisan Cina batu asas sengaja dipolitikkan - Exco Kedah

ALOR SETAR – Polemik berhubung kewujudan tulisan Cina pada batu asas majlis pecah tanah Kedah Rubber City baru-baru ini disifatkan sebagai isu yang sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu demi meraih keuntungan politik.
Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, dakwaan kononnya kerajaan negeri mengangkat budaya luar adalah tidak berasas memandangkan tulisan Melayu turut dipaparkan.
"Ramai seteru politik cuba memainkan isu tulisan Cina pada batu asas majlis pecah tanah Kedah Rubber City baru-baru ini, hakikatnya, tulisan Melayu tetap ada, ucapan rasmi dalam Bahasa Melayu dan bendera Kedah serta Malaysia berkibar megah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, beberapa pihak dilihat mempertikaikan tulisan pada batu asas majlis pecah tanah berkenaan yang dikatakan mengagungkan identiti luar.
"Pelabur dari luar datang membawa teknologi, peluang pekerjaan dan rezeki untuk rakyat. Kita sebagai tuan rumah menghormati identiti mereka, sama seperti mereka menghormati bahasa dan budaya kita yang berbilang kaum.
"Pas dan Perikatan Nasional (PN) bukan jumud. Kita tidak pernah menghalang kemajuan, tidak pernah menyekat hak sesiapa untuk beragama atau berbangsa. Kita mempertahankan identiti negara tetapi pada masa sama membuka pintu pelaburan berbilion ringgit demi masa depan rakyat," ujarnya.
Beliau menjelaskan, sekiranya Pas dan PN anti-kaum lain, mana mungkin Kedah menjadi antara negeri yang paling pesat menarik pelaburan termasuk dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China?
"Mana mungkin ribuan peluang pekerjaan diwujudkan? Mana mungkin syarikat asing beratur untuk masuk?" katanya.
Jelas Haim, tulisan pada batu asas itu sebenarnya membawa maksud ‘meletakkan asas’.
"Rupanya, mereka takut dengan batu asas yang bertulisan Cina yang bermaksud ‘meletakkan asas’. Mereka pandang bendera Kedah sebagai bendera negara China. Apa yang membuatkan mereka begitu fobia?" soalnya.
Beliau pada masa sama menyifatkan isu tersebut tidak lebih daripada cubaan menimbulkan keresahan politik.
Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, PN turut memberi jaminan bahawa rakyat Sabah akan menikmati pentadbiran yang lebih stabil, adil dan terbuka sekiranya mandat diberikan kepada gabungan tersebut.
"Kalau rakyat Sabah mahukan masa depan yang lebih stabil, lebih maju dan lebih terbuka, percayalah undi pada calon Pas dan PN adalah undi untuk kemajuan, kestabilan dan masa hadapan Sabah yang lebih baik, buktinya kita dah tunjukkan di Kedah.
"Di Sabah nanti jika PN memerintah, silakan amalkan budaya dan agama masing-masing. Bahkan Sabah akan menjadi lebih maju dengan hasil bumi yang banyak dan kejujuran pemimpin yang PN tawarkan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polemik tentang tulisan Cina pada batu asas Kedah Rubber City dituduh sebagai usaha meraih keuntungan politik
- Tulisan Melayu turut dipaparkan pada batu asas tersebut, menepis dakwaan mengangkat budaya luar
- Polemik ini digambarkan sebagai percubaan memperbesar-besarkan isu oleh beberapa seteru politik
- Pelaburan asing dilihat membawa teknologi, peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada ekonomi Kedah
- Isu ini diasaskan sebagai usaha menimbulkan keresahan politik, bukan masalah sebenar berkenaan dengan identiti atau budaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

