PTM labur RM2.6 bilion bina kilang tayar pintar di Kedah Rubber City

PRINX TIRE (Malaysia) Sdn Bhd (PTM) bakal melabur sebanyak RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun bagi membangunkan sebuah kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam di Kedah Rubber City (KRC), di sini.
Majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Exco Industri dan pelaburan Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah pada Selasa.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam satu kenyataan berkata, pelaburan berskala besar itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri getah negara, sekali gus meletakkan Kedah sebagai hab utama pembuatan tayar termaju di Asia Tenggara.
Fasiliti berteknologi tinggi yang akan dibina di atas tanah seluas 102.63 ekar (41.53 hektar) itu dijadualkan memulakan operasi pada suku pertama tahun 2027.
Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Fasa 1 melibatkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion, manakala Fasa 2 pula RM1.4 bilion.
Menurut kenyataan itu, kilang berkenaan akan dilengkapi teknologi Industri 4.0, termasuk sistem automasi berskala tinggi, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus serta gudang pintar.
Apabila beroperasi sepenuhnya, kilang itu dijangka mampu menghasilkan sehingga sembilan juta tayar Radial Kereta Penumpang (PCR) setahun.
Pada peringkat awal, ia akan mengeluarkan enam juta tayar PCR dan 600,000 tayar Radial Trak dan Bas (TBR) setahun.
Lebih membanggakan, projek ini bakal mewujudkan sebanyak 1,056 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan, R&D dan pentadbiran, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, keputusan PTM untuk menubuhkan fasiliti di KRC membuktikan potensi besar kawasan itu sebagai hab industri getah utama di ASEAN.
“Pelaburan penting oleh peneraju industri global ini adalah bukti kepada visi strategik NCER. Ia akan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh ekosistem industri getah negara,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula, pelaburan tersebut sebagai bukti daya tarikan Malaysia sebagai destinasi projek berintensifkan modal.
“Komitmen PTM terhadap automasi dan kelestarian seiring dengan aspirasi negara untuk pertumbuhan perindustrian yang mampan. Projek ini dijangka menyegarkan semula sektor pembuatan tayar dan memberi manfaat besar kepada Kedah serta kawasan sekitarnya,” ujarnya.
PTM juga dilaporkan akan menjadi penyewa utama yang menduduki 35 peratus kawasan Fasa 1 KRC, menjadikannya pemacu utama kepada pembangunan jangka panjang taman perindustrian tersebut.
KRC merupakan taman perindustrian getah khusus pertama di Malaysia dan disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024–2030.
Ringkasan AI
- Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd membuat pelaburan RM2.6 bilion untuk kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam di Kedah Rubber City
- Pelaburan ini dijadikan pemangkin kepada pembangunan industri getah, menjadikan Kedah sebagai hab pembuatan tayar di Asia Tenggara
- Kilang berteknologi tinggi ini akan mulai beroperasi pada suku pertama tahun 2027 dengan keluasan 102.63 ekar
- Dianggarkan akan menghasilkan sembilan juta tayar Radial Kereta Penumpang setahun apabila beroperasi sepenuhnya
- Projek ini akan mewujudkan 1,056 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan mendorong pertumbuhan ekonomi komuniti setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


