Exco Kedah mohon maaf, tidak berniat menghina rakyat Sabah

ALOR SETAR - "Saya mohon maaf...tidak berniat menghina rakyat Sabah."
Demikian pengakuan dibuat Exco Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mansor Zakaria dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Khamis.
Menurut Mansor, pengakuan itu dibuat setelah menyedari kenyataan yang diucapkan beliau telah menyinggung hati rakyat Sabah.
"Saya mohon maaf atas ucapan semalam dan saya tarik balik ... dengan niat jujur ikhlas, menarik balik apa yang telah saya sampaikan semalam jika ia menyinggung hati rakyat Sabah," katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak berniat berbuat demikian, namun dengan rendah diri meminta agar permohonan maaf tersebut diterima.
"Bila saya fikir-fikir balik, sebenarnya saya tidak berniat menghina rakyat Sabah, kita berbahas tentang apa yang diceramahkan di Sabah mengenai Kedah ni.
"Kita membuat perbandingan tersebut ...jadi saya tak mahu panjangkan isu ini," jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video Mansor yang berucap dalam sesi Sidang DUN mengenai usaha menarik perhatian rakyat Sabah seolah-olah hanya semudah dengan memberi roti gardenia, merujuk kepada kempen pilihan raya negeri itu.
Perkara itu bagaimanapun mengundang reaksi pelbagai pihak sehingga dakwaan mengatakan kenyataan dilontar Mansor dianggap menghina rakyat Sabah.
Ringkasan AI
- Exco Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mansor Zakaria memohon maaf atas kenyataan yang menyinggung hati rakyat Sabah
- Pengakuan maaf itu dibuat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah
- Mansor mengakui tidak berniat menghina dan menarik balik ucapan yang dibuat
- Kenyataan Mansor sebelumnya dianggap menghina oleh beberapa pihak
- Mansor mengaku hanya membuat perbandingan dan tidak ingin panjangkan isu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

