Benda tak perlu buat apa nak simpan

SEORANG kenalan Merak Jalanan ni ada satu tabiat pelik iaitu simpan semua bekas plastik makanan. Ya, hampir semua dan pelbagai saiz. Dari bekas kuih raya sampai bekas bubur lambuk Ramadan, semuanya dia simpan dengan anggapan ‘berguna suatu hari nanti’.
Pada mulanya, Merak Jalanan anggap itu perkara kecil. Jimat, tak payah beli bekas baharu. Lagipun, budaya kitar semula itu baik, katanya. Siapa boleh salahkan niat baik begitu kan?
Tapi bila singgah di dapurnya minggu lalu, barulah jelas bahawa ‘niat baik’ kadang-kadang perlukan sempadan.
Ruang dapurnya sudah macam muzium rasmi bekas makanan. Setiap rak, laci, malah atas peti sejuk pun jadi tapak pameran.
Bukan semua bekas itu masih elok. Ada yang tutupnya tak jumpa, bertukar warna dan ada yang baunya tidak enak.
Bila ditanya kenapa tak buang, jawapannya tetap sama. “Sayanglah. Mana tahu nanti nak guna.”
Merak Jalanan tersedar, ramai sebenarnya yang bermasalah begini. Macam ada hubungan emosi dengan bekas plastik.
Ruang dapur kecil tapi ingin memuatkan segala bekas makanan yang pernah singgah. Akhirnya bukan dapur yang sesak tapi kepala sendiri yang serabut melihat benda tak digunakan menimbun tanpa tujuan. Tak sedar akhirnya tanggung beban.
Penyelesaiannya mudah saja tapi perlukan ‘keberanian’. Pertama, asingkan bekas yang masih elok dan pilih jumlah yang realistik. Lima atau enam sudah memadai untuk keluarga kecil. Selebihnya? Masuk saja dalam tong kitar semula.
Kedua, amalkan peraturan ‘satu masuk, satu keluar’. Setiap kali dapat bekas baharu, lepaskan satu yang lama. Barulah dapur tidak jadi hutan plastik.
Dan yang paling penting, sedar bahawa ruang yang lapang itu juga rezeki. Hidup ini tenang bila kita tak bawa beban yang tak perlu. Kadang-kadang ia beri kita peluang untuk menghargai benda yang benar-benar berguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
