Semua benda nak cerita di media sosial, malu entah ke mana

ZAMAN sekarang, kalau tak kongsi di media sosial, seolah-olah benda itu tak pernah berlaku. Hal alat sulit sendiri pun nak dihebohkan. Bergaduh dengan pasangan, rakam video sambil menangis, dapat surat mahkamah, siap buat siaran langsung pula.
Pendek kata, apa sahaja yang berlaku dalam hidup sama ada aib, bodoh, atau memalukan semuanya mahu diceritakan kepada satu dunia.
Persoalannya, ke mana perginya rasa malu? Dulu, orang tua-tua pesan, Kalau kain sendiri koyak, jahitlah di dalam rumah. Sekarang, kain koyak bukan sahaja dijahit di luar rumah, siap tayang di media sosial dengan kapsyen panjang berjela. Lagi ramai orang komen, lagi puas hati.
Ada yang sanggup membuka pekung di dada sendiri. Masalah rumah tangga dijadikan kandungan. Hutang tak bayar diceritakan seolah-olah satu pencapaian. Kesilapan sendiri diputar belit supaya nampak sebagai mangsa.
Lebih parah, ada yang bangga dengan perangai tak elok. Maksiat diceritakan tanpa segan. Bahasa kesat dianggap berani. Maki hamun dilabel 'jujur'. Semuanya atas nama ‘kebebasan bersuara’.
Media sosial sepatutnya jadi ruang berkongsi ilmu, menyebar kebaikan, atau sekurang-kurangnya hiburan yang beradab. Tapi kini, ia berubah menjadi pentas meluah emosi tanpa tapis. Marah sikit, post. Kecewa sikit, story. Tak puas hati, buka aib orang lain.
Ironinya, bila ditegur, cepat pula melenting. Katanya orang tak faham tekanan hidup. Sedangkan yang ditegur bukan masalah hidup, tetapi cara membuka cerita kepada umum tanpa fikir kesan jangka panjang.
Apa yang kita muat naik hari ini, akan kekal selamanya. Anak cucu boleh baca. Majikan boleh nilai. Orang ramai boleh hukum walaupun kita sudah lama menyesal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
