Bila emosi duduk di kaunter

Bila emosi dilepas kepada pesakit, di situ perkhidmatan bertukar jadi pengalaman menyakitkan bukan pada tubuh, tetapi pada hati. Foto hiasan
Bila emosi dilepas kepada pesakit, di situ perkhidmatan bertukar jadi pengalaman menyakitkan bukan pada tubuh, tetapi pada hati. Foto hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan sering memerhati suasana di hospital dan pusat rawatan.

Di situlah pelbagai emosi bertemu antara resah pesakit, letih penjaga dan tekanan mereka yang bekerja di hadapan kaunter.

Ia ruang kecil, tetapi sarat dengan perasaan. Pekerja kaunter ialah wajah pertama ditemui pesakit.

Ada yang datang dengan sakit berdenyut, ada bimbang keputusan pemeriksaan, ada juga yang sekadar keletihan menunggu.

Namun tidak semua disambut dengan nada sama. Ada suara meninggi, ada muka masam, ada jawapan pendek dan tajam, seolah-olah pesakit itu beban, bukan manusia.

Merak Jalanan faham bekerja di kaunter bukan mudah. Berdepan ratusan orang sehari, soalan berulang, sistem yang kadangkala ‘jatuh’, tekanan masa dan kekangan tenaga kerja.

Merak Jalanan memahami tugas di kaunter bukan ringan. Soalan sama diulang berkali-kali, sistem tidak sentiasa lancar, serta tekanan masa boleh menguji kesabaran.

Dalam keletihan, emosi kadangkala terlepas tanpa disedari. Emosi boleh letih sebelum badan.

Tetapi bila emosi dilepas kepada pesakit, di situ perkhidmatan bertukar jadi pengalaman menyakitkan bukan pada tubuh, tetapi pada hati.

Artikel Berkaitan:

Yang di kaunter mungkin lupa, satu senyuman kecil mampu menenangkan. Satu ayat lembut boleh meredakan keresahan.

Pesakit pula perlu sedar, pekerja kaunter juga manusia, bukan mesin jawapan segera.

Merak Jalanan percaya profesionalisme bukan bermaksud tiada emosi, tetapi tahu mengurusnya. Kerana apabila empati dahului emosi, urusan lancar dan hati lebih tenang.

Perkhidmatan baik bukan diukur pada kelajuan sistem semata-mata, tetapi cara manusia melayan manusia.

Di situ maruah perkhidmatan sebenar bermula. Kerana akhirnya, di sebalik uniform dan nombor giliran, kita semua manusia yang saling memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!