'Tak perlu tangguh keluar BN'

Mani Maran
Mani Maran
A
A
A

IPOH - MIC tidak seharusnya menangguhkan keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) kerana perwakilan ketika Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam gabungan itu.

Bekas Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, K Mani Maran berkata, menjadi amalan sebelum ini, mana-mana usul yang diluluskan di dalam perhimpunan agung sebulat suara boleh dilaksanakan serta-merta.

Menurutnya, pimpinan tertinggi MIC juga tidak wajar mencari alasan dengan menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai justifikasi mudah untuk keluar daripada BN.

"Perwakilan sudah buat keputusan jadi mahu tunggu apa lagi? Sudah lebih setahun kata mahu keluar BN tiba-tiba nak tangguh untuk bincang dalam majlis tertinggi. Saya nampak seolah-olah ada agenda peribadi.

"Jika begitu, jangan salahkan UMNO dan BN sebab kita sahabat dan berjuang lebih 70 tahun. Nak keluar, keluar sahaja, tak perlu pusing sana pusing sini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mani Maran berkata, MIC harus berterus terang kepada rakyat apa sebenar yang mereka mahukan kerana jika jawatan di dalam Kabinet hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menentukan, bukan Ahmad Zahid.

Jelasnya, jika keputusan untuk keluar daripada BN disebabkan kepentingan peribadi maka satu kerugian buat masyarakat India kerana MIC merupakan salah satu pengasas gabungan parti tertua di negara ini.

Menurutnya, keputusan MIC itu dilihat terburu-buru tidak seperti mana MCA yang memilih jalan sebaliknya biarpun tidak diberikan sebarang jawatan di dalam kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan masyarakat India tidak dipinggirkan kerajaan negeri Perak yang dipimpin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi BN negeri.

Artikel Berkaitan:

"Di Perak, bukan sahaja peruntukan khusus disediakan kepada masyarakat India malah pemimpin MIC turut diberikan jawatan di dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan dilantik sebagai ahli majlis PBT (pihak berkuasa tempatan).

"Jadi saya tidak nampak orang India dipinggirkan termasuklah MIC di Perak ini," katanya lagi.

Mani Maran berkata, keputusan dibuat oleh perwakilan MIC itu merugikan ahli serta penyokong yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Ringkasan AI

  • Perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi untuk keluar dari BN
  • Bekas Ketua MIC mengkritik tindakan menangguhkan keputusan keluar daripada BN sebagai ada agenda peribadi
  • Pimpinan MIC disarankan tidak mencari alasan untuk keluar BN dengan menyalahkan Presiden UMNO
  • Keputusan keluar BN dilihat sebagai kepentingan peribadi dan merugikan masyarakat India
  • Dikatakan masyarakat India tidak dipinggirkan di Perak, malah pemimpin MIC diberikan jawatan dalam GLC dan PBT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!