Tak perlu imuniti, hadapkan saya ke mahkamah - Tun M

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, bahawa beliau tidak mahu sebarang bentuk imuniti daripada tindakan undang-undang dan bersedia untuk dibawa ke muka pengadilan sekiranya benar-benar didapati bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh.
Beliau mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka telah menjatuhkan hukuman ke atasnya di Dewan Rakyat berhubung isu kegagalan merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh.
"Dia kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti.
"Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan.
"Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada sesi di Dewan Rakyat pada Selasa, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir susulan keputusan untuk tidak merayu tuntutan Pulau Batu Puteh ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Anwar berkata, Dr Mahathir bersalah, namun mengambil kira faktor usia Dr Mahathir, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.
Sehubungan itu Dr Mahathir mempersoalkan peranan Anwar yang menurutnya seolah-olah bertindak sebagai pendakwa raya dan juga hakim.
"Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar.
"Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja Perdana Menteri, dia juga hakim dan juga pendakwa raya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwa raya atau hakim,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

