[VIDEO] 'PDRM tingkat risikan kesan perancangan demonstrasi berunsur ekstrem' – Shamsul Anuar

A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan keupayaan risikan bagi mengesan lebih awal perancangan pihak tertentu mengadakan himpunan atau demonstrasi yang berunsur ekstrem dan cuba mengeksploitasi sentimen rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain menggunakan kaedah pengumpulan maklumat melalui risikan, PDRM melakukan pemantauan di media sosial serta mengadakan kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa.

“Dengan kaedah pengumpulan maklumat melalui risikan, memantau di media sosial serta kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa umpamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Interpol dan ASEANAPOL.

“Pendekatan utama yang diguna dalam mengesan perancangan awal adalah mengenal pasti sentimen yang wujud berdasarkan isu-isu di platform media sosial atau perkara-perkara yang menjadi topik perbualan hangat masyarakat umum,” katanya pada seri Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) sama ada wujud ruang peningkatan keupayaan atau strategi baharu risikan untuk mendapatkan maklumat lebih awal berkenaan anjuran himpunan atau demonstrasi di dalam negara.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menjelaskan, antara sentimen yang dikenal pasti di dalam eksploitasi persepsi rakyat adalah seperti tindakan dwistandard penguatkuasaan dan perkara-perkara lain.

Kata beliau, dalam merangka tindakan dan menangani persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan, kementeriannya berkolaborasi dengan agensi penguatkuasa yang terlibat.

“Di samping itu, kita melakukan kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan serta (memberi tumpuan kepada) elemen pendidikan dan keagamaan.

“Maknanya ketika kerajaan memberikan kebebasan hak kepada rakyat (untuk berhimpun secara aman), kerajaan tetap beri keutamaan dalam soal-soal keselamatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dalam soalan tambahannya mempertikaikan mengapa perhimpunan aman yang dibuat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) masih lagi menghadapi masalah kerana contohnya mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah ditangkap apabila mereka mengadakan demonstrasi antirasuah Sabah dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Menjawab pertanyaan itu, Shamsul Anuar berkata, sepertimana yang beliau sebutkan dari awal, kerajaan melalui PDRM tetap akan membuat risikan, membuat pemantauan supaya isu dan perkara-perkara yang melanggar peraturan dapat ditangani dengan baik serta tersusun walaupun kerajaan memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun.

“Sebarang tindakan yang dibuat oleh pihak polis kekal dan tetap mematuhi peraturan serta undang-undang yang ada dan tidak sesekali melanggar peraturan tersebut. PDRM sendiri sangat mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi kita menghormati hak rakyat dan dalam waktu sama kita juga mesti menjaga keamanan negara,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia meningkatkan keupayaan risikan untuk mengesan perancangan himpunan atau demonstrasi ekstrem
  • PDRM menggunakan media sosial dan kerjasama agensi tempatan dan antarabangsa untuk pengumpulan maklumat
  • Kaedah utama adalah mengenal pasti sentimen rakyat dari media sosial dan topik hangat di kalangan masyarakat
  • Kerajaan berkolaborasi dengan penguatkuasa, NGO, dan fokus pada pendidikan serta keagamaan untuk menangani persepsi negatif
  • PDRM mematuhi SOP dan undang-undang dalam menghormati hak berhimpun rakyat sambil menjaga keamanan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!