Mohamed Usuf pangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur

Mohamed Usuf (kanan) kini memangku tugas Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Rusdi (kiri) yang dilantik sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mohamed Usuf (kanan) kini memangku tugas Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Rusdi (kiri) yang dilantik sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad kini memangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, menggantikan Datuk Rusdi Mohd Isa yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Hamzah Ahmad.

Majlis dimulakan dengan upacara menandatangani serta pertukaran dokumen serah terima tugas antara Mohamed Usuf dan Rusdi.

Hamzah dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas kepimpinan cemerlang Rusdi sepanjang menerajui Kontinjen Kuala Lumpur.

"Sumbangan beliau telah membawa pelbagai kejayaan signifikan dan memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat di Kuala Lumpur terus terpelihara," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohamed Usuf atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur.

"Saya yakin bahawa dengan pengalaman luas, kredibiliti dan kepimpinan beliau, kontinjen ini akan terus mencipta kejayaan, mengekalkan kestabilan serta kekal disegani oleh masyarakat," katanya.

Hamzah menegaskan bahawa setiap amanah yang diserahkan bukan sekadar simbolik atau urusan pentadbiran semata-mata, tetapi mencerminkan kepercayaan, tanggungjawab dan tekad untuk terus menjunjung amanah demi kepentingan rakyat dan negara.

"Saya mendoakan Rusdi terus unggul dalam peranan baharu di JSJK Bukit Aman dan yakin Mohamed Usuf akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan dalam menerajui Kontinjen Kuala Lumpur, seiring harapan masyarakat ibu negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!